Original News In Malay
MIRI: Jejak-jejak sejarah yang menyimpan 1001 kisah suka duka pembangunan Miri, dari sebuah perkampungan nelayan hingga menjadi sebuah bandar raya, dengan merentasi era pemerintahan Rajah-rajah Brooke, zaman kolonial serta perang dunia kedua, kini diketengahkan menjadi satu produk pelancongan baharu.
Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan menerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dan agensi berkaitan serta individu dan pertubuhan bukan kerajaan, telah memberi komitmen sepenuhnya dalam merealisasikan sebanyak 10 tempat bersejarah di sini, dihubungkan dalam satu laluan untuk menjadi satu produk yang dinamakan Miri Heritage Trail (Jejak Warisan Miri).
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting berkata, Jejak Warisan Miri ini adalah satu legasi untuk generasi akan datang dan laluan ini adalah usaha kolektif untuk meraikan, melindungi dan menyampaikan kisah luar biasa Miri kepada dunia.
“Kini, dengan pelancaran rasmi Jejak Warisan Miri, kerja kita tidak terhenti di sini.
“Kementerian akan terus bekerjasama rapat dengan semua rakan kongsi untuk memastikan laluan ini menjadi produk pelancongan yang boleh dipasarkan, seterusnya berkembang, berevolusi dan menjangkau khalayak dekat dan jauh.
“Kita akan membangunkan strategi untuk memasarkan Jejak Warisan ini sebagai sebahagian daripada penawaran pelancongan warisan yang lebih luas di Sarawak,” katanya semasa berucap merasmikan pelancongan Jejak Warisan Miri, di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Majlis tersebut turut dihadiri dan disaksikan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap ADUN Marudi Datuk Dr Penguang Manggil serta ADUN Telang Usan yang juga Pengerusi STB Dato Dennis Ngau serta ketua-ketua jabatan dan masyarakat.
Menurut Ting lagi, kementeriannya akan terus bekerjasama dengan pengendali pelancongan tempatan dan antarabangsa untuk mempromosikan produk Jejak Warisan Miri dan sejarah di sebaliknya, yang menjadi pemangkin pembangunan Miri kini.
“Apa yang kita lihat hari ini bukan sekadar peta tapak bersejarah. Jejak Warisan Miri ini adalah hasil dedikasi bertahun-tahun oleh individu yang sangat mencintai bandar raya ini.
“Daripada catatan awal mengenai Maraboo dalam rekod lama hingga transformasi Miri menjadi bandar minyak pertama di Malaysia, bandar ini sarat dengan lapisan sejarah.
“Sejarah sosial Miri dibentuk oleh era Brooke dan diperkukuhkan oleh komuniti seperti Jatti Miriek, Kedayan, Kenyah, Kayan dan banyak lagi.
“Sejarah Miri pernah dilukai oleh zaman perang, namun tidak pernah ‘melumpuhkannya’,” katanya.
Justeru, katanya, ia memerlukan penglibatan berterusan dengan semua pihak berkepentingan, seperti komuniti tempatan, pemain industri pelancongan, penggiat industri kreatif, pendidik dan tentunya para pencerita yang mengenali tempat-tempat ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, industri kreatif bukan hanya tentang apa yang baharu, ia juga tentang menghidupkan semula yang lama, sama ada melalui penceritaan, pelancongan, seni dan pendidikan.
Melalui inisiatif seperti Jejak Warisan Miri, kita menyulam kisah-kisah ini ke dalam penawaran pelancongan di Miri, jelas Ting lagi.
“Biarlah laluan ini menjadi peringatan yang berterusan kepada semua anak Sarawak, terutama anak-anak Miri, bahawa warisan bukanlah sesuatu yang kita kagumi dari jauh.
“Ia adalah sesuatu yang kita bawa dalam diri. Ia adalah sesuatu yang kita kongsikan dengan bangga. Dan yang paling penting, ia adalah sesuatu yang kita lindungi bersama,” tambahnya.
Sementara itu, 10 lokasi yang dipetakan dalam laluan Jejak Warisan Miri ini ialah Peringatan Perang Pantai Brighton (tapak pendaratan pesawat Jepun), Rumah Api (Pusara Metali), The Grand Old Lady di Bukit Kanada (telaga minyak pertama negara), Empangan Salome (Bukit Kanada), Kubu Pertahanan Serangan Udara Perang Dunia Kedua di Bukit Kanada, Bunkers Batu 1 (Jalan Kuala Baram), Makam Dato Permaisuri (Kampung Pujut Tanjung Batu), Taman Memorial Perang Dunia Kedua, Kem Tahanan Perang dan Tapak Hukuman (Mati) di Lopeng dan Jambatan Bailey di Piasau.