MIRI: Kempen Kesedaran Trafik 2026 yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chung Hua Miri, semalam merupakan salah satu usaha meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya khususnya dalam kalangan ibu bapa dan keluarga pelajar.
Program pelancaran yang bermula jam 2 petang itu dianjurkan oleh pihak sekolah dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) Trafik Miri, bertujuan menangani isu kesesakan serta keselamatan lalu lintas di persekitaran sekolah, terutama ketika waktu puncak penghantaran dan pengambilan pelajar.
Hadir mewakili PDRM Trafik Miri ialah Inspektor G. Visvanathan Guna Cekeren dan Sarjan Mejar Mohd Khairul Annuar Ahmad Kassim.
Turut hadir ialah wakil pihak sekolah dan agensi berkaitan termasuk Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Yong Hong Then, Ketua Bidang Teknik dan Vokasional Ng Voon Kong, Setiausaha Disiplin Chua Chiang Hoong, wakil Jawatankuasa Keselamatan Wan Saiful Azuari Mohamed, wakil Jawatankuasa Disiplin Ahmad Nizam Ismail, Setiausaha Lembaga Pengelola Sekolah Rita Ting Lee Tai serta Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Voon Cheng Thong.
Antara pengisian utama program adalah edaran risalah panduan dan garis panduan meletakkan kenderaan kepada ibu bapa serta keluarga pelajar, selain sesi taklimat keselamatan secara santai menerusi pendekatan bersemuka.
Menerusi sesi tersebut, pihak polis dan sekolah memberi penerangan mengenai kepentingan sikap bertanggungjawab pengguna jalan raya, khususnya larangan meletakkan kenderaan di kawasan tidak dibenarkan sehingga menghalang aliran trafik atau menyebabkan kesesakan.
Pihak sekolah berharap pelaksanaan kempen itu dapat meningkatkan tahap kesedaran komuniti sekolah serta mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan teratur demi kesejahteraan pelajar dan pengguna jalan raya di kawasan sekitar SMK Chung Hua (CF) Miri.