Miri crime index statistics show significant decline last year

Posted on 26 Jan 2026
Source of News: Utusan Borneo



This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online

MIRI: Usaha berterusan Ibu Pejabat Polis (IPD) Miri dalam membanteras jenayah membuahkan hasil apabila statistik jenayah indeks menunjukkan penurunan ketara sepanjang tahun 2025, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan awam di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, jumlah jenayah indeks menurun daripada 395 kes pada 2024 kepada 373 kes pada 2025, iaitu pengurangan sebanyak 22 kes atau enam peratus, hasil komitmen berterusan warga IPD Miri dalam pelaksanaan tugas.

Menurutnya, kadar penyelesaian kes kekal pada tahap membanggakan apabila 297 kes (75 peratus) berjaya diselesaikan pada 2024, manakala 275 kes (74 peratus) diselesaikan pada 2025.

Manakala dari segi keseluruhan jenayah melibatkan kes indeks dan bukan indeks, IPD Miri mencatatkan 1,134 kes pada 2024 dengan 869 kes berjaya dituduh di mahkamah, bersamaan 76 peratus kadar pertuduhan.

“Pada tahun 2025 pula, jumlah kes menurun kepada 928 kes, dengan 746 kes berjaya dituduh di mahkamah, sekali gus meningkatkan kadar pertuduhan kepada 84 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan IPD Miri di sini hari ini.

Hadir sama timbalannya, Superintenden Nur Asyikhin Abdullah, Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Miri DSP Sila Kadung serta pegawai kanan yang lain.

Penghargaan turut diberikan kepada tujuh wartawan di Miri atas kerjasama erat dalam usaha menyampaikan maklumat kepada masyarakat khasnya di daerah Miri dengan berkesan.
Penghargaan turut diberikan kepada tujuh wartawan di Miri atas kerjasama erat dalam usaha menyampaikan maklumat kepada masyarakat khasnya di daerah Miri dengan berkesan.

Dalam pada itu, beliau berkata Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Miri turut mencatatkan peningkatan ketara apabila 1,313 kes dibuka dengan 1,385 tangkapan pada 2025, berbanding 1,001 kes dan 1,045 tangkapan pada tahun sebelumnya.

“Peningkatan tersebut melibatkan pertambahan 312 kes atau 31.16 peratus serta 340 tangkapan atau 32.53 peratus, dengan nilai rampasan dadah bagi 2025 mencecah RM67.19 juta.

“Bagi kes jenayah komersial turut menunjukkan peningkatan ketara apabila 727 kes dilaporkan pada 2025, berbanding 337 kes pada 2024, peningkatan sebanyak 390 kes atau 115.73 peratus,” katanya.

Beliau berkata, peningkatan itu mencerminkan tahap kesedaran awam yang semakin tinggi untuk tampil membuat laporan selepas pelbagai program pencegahan dan ceramah kesedaran dijalankan.

Bagi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Miri, statistik menunjukkan penurunan kes kemalangan jalan raya daripada 3,516 kes pada 2024 kepada 3,442 kes pada 2025, iaitu pengurangan sebanyak 74 kes.

“Lebih membanggakan, kes kemalangan maut menurun daripada 62 kes pada 2024 kepada 47 kes pada 2025, sekali gus mencatatkan pengurangan sebanyak 15 kes,” katanya sambil menyifatkan keseluruhan pencapaian ini satu peningkatan yang cemerlang untuk IPD Miri.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan pendirian tiada kompromi terhadap penyalahgunaan dan pengedaran dadah, termasuk dalam kalangan warga PDRM sendiri, selain mengarahkan tindakan tegas dan bersepadu diteruskan.

Beliau berkata, kualiti penyampaian perkhidmatan yang cepat, mesra dan profesional perlu sentiasa diperkasakan kerana ia mencerminkan imej PDRM, di samping menyeru kerjasama berterusan masyarakat demi keselamatan dan kesejahteraan bersama.

Pada majlis sama, Farhan turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 14 orang anggota dan dua kakitangan awam atas pencapaian cemerlang mereka di dalam tugasan masing-masing. 

Penghargaan turut diberikan kepada tujuh orang wartawan atas kerjasama erat dalam usaha menyampaikan maklumat kepada masyarakat khasnya di daerah Miri dengan berkesan.