Youth and strategic collaboration, key to Miri Sustainable City agenda: Yii

Posted on 26 Jan 2026
Source of News: Utusan Borneo



This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online

MIRI: Agenda menjadikan Miri sebagai sebuah bandar raya lestari, hijau dan berdaya saing memerlukan penglibatan aktif golongan belia serta kerjasama strategik berterusan semua pihak, bukan sekadar dasar di atas kertas.

Datuk Bandar Miri Adam Yii Siew Sang menegaskan, belia, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan, sektor swasta dan komuniti setempat merupakan tonggak utama dalam memacu inovasi hijau serta amalan mampan di bandar raya ini, menerusi konsep Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

“Golongan ini adalah pemimpin masa hadapan dan pemacu kepada perubahan. Inisiatif seperti Karnival SDG ini perlu diteruskan dan diperluaskan agar memberi impak jangka panjang kepada pembangunan bandaraya,” katanya.

Yii yang merupakan ADUN Pujut berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival SDG Bandaraya Miri, Edisi 1/2026 yang berlangsung di Aras 3, Boulevard Hypermarket, Pujut di sini, semalam.

Menurut Yii, pembangunan sebuah bandar raya lestari menuntut komitmen berterusan serta kerjasama strategik semua pihak berkepentingan.

Beliau yakin di bawah kepimpinan Majlis Bandaraya Miri (MBM), dengan sokongan padu rakan strategik SDG dan masyarakat setempat, Miri berpotensi muncul sebagai bandar raya contoh yang progresif dan kompetitif di peringkat negeri serta nasional.

Dalam pada itu, beliau menyeru rakyat Miri agar terus memperkukuh komitmen dalam menyokong usaha kelestarian bandar raya ini demi merealisasikan visi Miri sebagai sebuah Bandar Raya Hijau, Bandar Raya Pintar serta antara bandar raya peranginan antarabangsa yang paling selesa untuk didiami.

Sementara itu, Karnival SDG Bandaraya Miri, Edisi 1/2026, adalah anjuran bersama Pembangunan Komuniti SDG MBM, bersama rakan strategik SDG serta Jawatankuasa Penduduk Miri.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa SDG, Kaunselor Jamil Bujang dalam ucapan alu-aluannya berkata, karnival itu dianjurkan sebagai platform inklusif untuk mendekatkan SDG kepada masyarakat umum melalui pendekatan yang bersifat mendidik, interaktif dan berteraskan komuniti.

“Penganjuran edisi pertama ini menumpukan kepada pemerkasaan kesedaran awam dalam aspek kelestarian alam sekitar, ekonomi hijau, kesejahteraan sosial serta tadbir urus bandar yang mampan, selari dengan aspirasi Pelan Pembangunan Strategik Sarawak (PCDS) 2030 dan agenda bandar rendah karbon,” katanya.