MIRI: Dewan masyarakat terbuka di Kampung Pulau Melayu bakal dinaik taraf kepada dewan tertutup yang dilengkapi kemudahan penghawa dingin bagi menyediakan persekitaran lebih selamat dan kondusif untuk penduduk kampung menganjurkan pelbagai acara.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting berkata, kerja-kerja naik taraf dan penambahbaikan itu dilaksanakan susulan beberapa cabaran yang dihadapi penduduk setempat.
Menurutnya, disebabkan keadaan dewan yang terbuka, penduduk yang menghadiri program pada waktu malam sering terdedah kepada gangguan nyamuk, sekali gus menjejaskan keselesaan serta tahap penyertaan.
“Dengan menaik taraf dewan berkenaan dan memasang pendingin hawa, penduduk dapat menganjurkan perhimpunan, acara dan sambutan pada waktu malam dengan lebih selesa tanpa kebimbangan terhadap gangguan nyamuk.
“Faktor kedua yang mendorong pelaksanaan projek itu ialah masalah kecurian kabel elektrik yang kerap berlaku sehingga menjejaskan penggunaan kemudahan tersebut,” katanya ketika ditemui semasa melawat ke tapak projek berkenaan hari ini.
Beliau memberitahu, projek bernilai RM200,000 itu melibatkan kerja-kerja menaik taraf asas dewan, pembinaan struktur keluli utama dan bumbung, selain pembinaan dinding bata yang mengelilingi dewan.
Ting turut memaklumkan, projek yang bermula baru-baru ini dijangka siap dalam tempoh enam bulan iaitu sekitar awal Julai depan.
Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau berharap dengan siapnya dewan berkenaan kelak, insiden kecurian dapat dikurangkan dan penduduk kampung dapat kembali mengadakan perhimpunan serta pelbagai acara, sekali gus mengeratkan hubungan silaturahim dan mengukuhkan perpaduan komuniti.
Semasa lawatan tapak tersebut, Ting turut menyaksikan penyerahan kontrak kerja daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada kontraktor yang dilantik, dengan JKR bertindak sebagai agensi pemantau bagi projek berkenaan.
Turut hadir ialah Pemanca Ujut Rahman, Pemanca Leonard Fong dan Kaunselor Kelvin Chia.