MIRI: Prihatin terhadap seruan kecemasan Tabung Darah Hospital Miri, Pergerakan Belia Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan N.73 Piasau dan Persatuan Belia Miri tampil mengambil inisiatif menganjurkan Program Derma Darah 2.0 pada Sabtu ini.
Program yang bermula jam 10 pagi di Ground Floor West Court, Bintang Megamall Miri (berhampiran Uniqlo) itu diadakan bagi membantu mendapatkan bekalan darah yang mencukupi untuk menampung keperluan bekalan darah di hospital berkenaan.Menurut pihak penganjur, program itu diadakan susulan laporan media yang mendedahkan kekurangan stok darah di Hospital Miri, sekali gus menuntut sokongan segera masyarakat setempat.
“Usaha itu bukan sahaja bertujuan meningkatkan paras simpanan darah hospital, malah berperanan mendidik orang ramai tentang kepentingan menderma darah sebagai satu amalan kemanusiaan dan tanggungjawab sosial.
“Setiap sumbangan darah amat penting bagi menyokong rawatan kecemasan, pembedahan serta keperluan pesakit yang bergantung kepada bekalan darah secara berterusan,” kata pihak penganjur.
Program Derma Darah 2.0 turut dimeriahkan dengan pameran dan reruai maklumat melibatkan pelbagai aktiviti kesedaran, selain majlis perasmian yang melambangkan semangat kebersamaan dan keprihatinan masyarakat terhadap keperluan kesihatan awam.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya warga Miri dan kawasan sekitar diseru hadir dan menyertai program berkenaan bagi membantu memastikan bekalan darah di Hospital Miri berada pada tahap mencukupi.