Miri Maritime seizes boat carrying duty-free cigarettes and alcohol

Posted on 30 Jan 2026
Source of News: Utusan Borneo

This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online.

MIRI: Cubaan menyeludup rokok putih dan minuman keras tidak bercukai gagal apabila Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri merampas sebuah bot gentian kaca di perairan Kuala Lawas, awal pagi 22 Januari lalu.

Pengarah Zon Maritim Miri Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, rampasan itu dilakukan sekitar jam 1.40 pagi hasil rondaan rutin bot Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan Ops Permai dan Ops Tiris 3.0 di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, bot gentian kaca berwarna biru tanpa nombor pendaftaran dan kru itu dikesan pada kedudukan kira-kira 0.6 batu nautika tenggara Kuala Lawas, sebelum pasukan penguat kuasa menjalankan pemeriksaan dan tindakan rampasan.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan membawa muatan disyaki seludup melibatkan 100 karton minuman keras pelbagai jenama serta 475 karton rokok putih pelbagai jenama yang dipercayai tidak bercukai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana disyaki melakukan kesalahan menyeludup masuk barang larangan tanpa cukai.

Kesemua bot dan barangan rampasan yang dianggarkan bernilai hampir RM250,000 telah dibawa ke Kompleks Zon Maritim Miri untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

Dalam pada itu, Khairol menegaskan Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan rondaan, pemantauan serta penguatkuasaan secara berterusan bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan jenayah maritim demi memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara sentiasa terpelihara.