MIRI: Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu meneruskan tugas-tugas susulan mereka dengan memantau semua kerja membaik pulih dan pembersihan yang dilakukan oleh kontraktor yang dilantik bagi memastikan infrastuktur yang disediakan untuk rakyat kekal berfungsi dengan baik.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, semua kerja membaik pulih dan pembersihan di longkang-longkang utama dan sistem perparitan di sekitar bandar raya ini yang sudah dilaksanakan perlu diawasi sentiasa bagi memudahkan penyelenggaraan seterusnya.
Beliau berkata, ketika ini pihak kontraktor yang dilantik Majlis Bandaraya Miri (MBM) sudah melakukan kerja dengan baik terutama di kawasan yang dilanda banjir sebelum ini.
“Rumput dan semak tebal sudah ditebas dan dibersihkan di beberapa kawasan.
"Longkang-longkang besar dan saliran parit di beberapa kediaman juga, ada yang sudah dan sedang dibersihkan.
“Kini menjadi tugas MBM pula untuk meneruskan kerja-kerja susulan dan memantau situasi ini.
"Pastikan kontraktor melakukan kerja mereka hingga siap (di beberapa kawasan yang sedang dan belum dibersihkan).
“Kekalkan kebersihan di parit-parit, pastikan tiada lagi yang tersumbat semula dan sebagainya,” kata Lee.
Beliau memberitahu demikian kepada pemberita selepas melawat dan memantau kerja-kerja pembersihan longkang utama dan kawasan sekitarnya termasuk parit-parit di kawasan Senadin, semalam.
Kawasan Senadin antara yang teruk dilanda banjir awal tahun ini.
Beliau berharap, tidak ada lagi aduan daripada orang awam yang mengatakan parit atau longkang sekitar kawasan kediaman mereka tersumbat semula selepas tiga atau enam bulan akan datang kerana tidak ada kerja-kerja susulan dan penyelenggaraan dilaksanakan.
Lee juga memberitahu, jika pihak MBM terus melakukan pemantauan dan memastikan kontraktor membuat kerja dengan betul, maka kerja penyelenggaraan seterusnya akan menjadi lebih mudah.
Dalam pada itu, Lee melahirkan rasa puas hati dengan kerja-kerja pembersihan yang sudah dan sedang dilaksanakan ketika ini di kawasan tersebut dan berharap ia dapat menyelesaikan sedikit sebanyak masalah banjir di kawasan Senadin.
Beliau berkata, akan terus memantau kerja-kerja pembersihan dan sistem perparitan di kawasan Senadin bagi mencari penyelesaian jangka panjang untuk memperbaiki sistem saliran di kawasan kediaman yang memiliki kepadatan penduduk tertinggi di Miri.
Dalam pada itu, pihak MBM yang turut mengiringi Lee melawat kawasan-kawasan yang sedang dibersihkan, turut memohon kerjasama penduduk setempat untuk menjaga kebersihan di kawasan persekitaran mereka dengan tidak membuang sampah sesuka hati.