Chinese New Year preparations in Miri are lively, traditions are being preserved

Posted on 23 Feb 2026
Source of News: TVS
Ngue Cheng En, Betty Pong dan Richard Kho. Foto TVS

This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online.

MIRI, 3 Feb: Persiapan menyambut Tahun Baharu Cina di bandar raya Miri semakin rancak dengan pelbagai pihak giat mengekalkan tradisi kebudayaan, keagamaan serta amalan masyarakat turun-temurun.

Jurulatih tarian singa Sekolah Menengah (SM) Pei Min, Ngue Cheng En berkata, sambutan Tahun Baharu Cina baginya lebih tertumpu kepada aktiviti tarian singa dan naga yang telah diceburinya sejak usia 11 tahun.

“Setiap kali Tahun Baharu Cina, saya memang fokus sepenuhnya kepada tarian singa dan naga,” katanya ketika ditemui TVS, baru-baru ini.

Menurut Ngue, beliau telah berkecimpung dalam bidang tersebut selama lebih 15 tahun dan kini bertindak sebagai jurulatih bagi melatih generasi muda agar terus menguasai seni tradisional itu.

Sementara itu, Penghulu Betty Pong memaklumkan persiapan turut giat dijalankan di Tokong Tua Pek Kong, antara tokong tertua di Miri yang berusia lebih satu abad.

Menurutnya, tokong tersebut akan dihiasi dengan tanglung dan perhiasan tradisional sebagai persediaan menyambut perayaan, selari dengan amalan masyarakat Cina setiap tahun.

“Kami akan menukar semua tanglung dan perhiasan. Segala-galanya perlu diganti, termasuk kemudahan sumbangan di luar tokong yang dihiasi dengan banyak tanglung kecil. Tanglung-tanglung ini disediakan untuk orang ramai datang membuat sumbangan dan membelinya,” katanya.

Betty berkata, masyarakat Cina amat menitikberatkan kesihatan, kebahagiaan dan keharmonian dalam menyambut Tahun Baharu Cina, selain mengekalkan kepercayaan serta adat resam yang diwarisi sejak dahulu.

Dalam sektor perniagaan pula, pemilik Ching Tai Bird’s Nest Sea Products Centre, Richard Kho berkata, permintaan terhadap bakul hadiah meningkat ketara menjelang Tahun Baharu Cina.

“Kebiasaannya kami menyediakan pelbagai jenis bakul hadiah untuk pelanggan kerana ia sebahagian daripada budaya masyarakat Cina, sama ada untuk diberikan kepada keluarga atau rakan,” katanya.

Menurut Richard, produk kesihatan seperti sarang burung, abalon, timun laut, perut ikan dan cendawan menjadi antara barangan paling laris sepanjang musim perayaan.

Beliau berharap lebih ramai masyarakat dapat menghargai makanan tradisional Cina serta mengamalkan gaya hidup sihat, khususnya ketika musim perayaan ini. – TVS