Setiausaha Pakatan Harapan (PH) Sarawak Alan Ling berkata, Chiew yang juga Ahli Parlimen Miri mempunyai perancangan dan agenda besar untuk memajukan bandar raya ini, khususnya dalam memperkasa industri pelancongan.
Menurutnya, sejak Miri diisytiharkan sebagai bandar raya peranginan selepas memperoleh status bandar raya pada 2005, rakyat tempatan menaruh harapan tinggi agar sektor pelancongan benar-benar berkembang dan memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.
“Saya percaya pelantikan beliau ke dalam Kabinet Persekutuan amat tepat pada masanya.
“Miri memerlukan lonjakan baharu dalam industri pelancongan dan saya yakin Chiew mempunyai perancangan tersusun untuk merealisasikannya,” ujarnya.
Terdahulu, Ling mengunjungi Chiew pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina (TBC) beliau yang diadakan di Eastwood Golf & Country Club pada hari kedua perayaan itu.
Ia merupakan rumah terbuka TBC pertama Chiew selepas dilantik sebagai Timbalan Menteri dalam rombakan Kabinet pada Disember tahun lalu.
Ling, yang juga merupakan Ahli Lembaga Pengurusan Majlis Sukan Negara, turut dijemput untuk menyampaikan ucapan bagi menyantuni ribuan hadirin daripada pelbagai lapisan masyarakat dan kaum, sekali gus mempamerkan suasana harmoni sepanjang perayaan tersebut.
Ling berkata, usaha bersepadu melibatkan semua pihak berkepentingan amat penting bagi memastikan potensi Miri sebagai destinasi pelancongan utama dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa dengan strategi promosi lebih agresif, penekanan terhadap keunikan alam semula jadi serta kepelbagaian budaya masyarakat setempat, Miri mampu mencatat peningkatan ketibaan pelancong dalam tempoh terdekat.
“Ini termasuk menarik bukan sahaja pelancong asing, malah pelancong domestik dari Semenanjung Malaysia dan Sabah untuk datang menikmati keindahan serta keistimewaan Miri,” ujarnya.
Beliau berharap sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), Miri akan meraih lebih banyak manfaat dengan kehadiran Chiew dalam kementerian pelancongan ketika ini.