MIRI: Kerajaan Sarawak mengalu-alukan pembangunan berfikiran jauh yang dirancang secara rapi, dibina dengan penuh tanggungjawab serta memberi manfaat kepada komuniti sebenar, bukan sahaja untuk masa kini tetapi juga demi generasi akan datang.
Menteri Pengangkutan Sarawak merangkap ADUN Senadin Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pembangunan seperti Kenyalang Smart City (KSC) mencerminkan pendekatan tersebut dalam usaha membentuk masa depan bandar raya ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) dan Iftar KSC di sini, malam Khamis.
Lee menegaskan, KSC bukan sekadar pembangunan fizikal melibatkan bangunan dan infrastruktur, malah satu perancangan menyeluruh bagi membentuk masa depan yang boleh dibanggakan generasi akan datang.
“Miri sentiasa menjadi bandar yang penuh tenaga.
“Sejak era awal industri minyak dan gas sehingga berkembang dalam bidang pendidikan, pelancongan serta hubungan rentas sempadan, bandar ini tidak pernah berhenti melangkah,” ujarnya.
Beliau percaya sesebuah bandar perlu mempunyai sistem pergerakan dan ketersambungan yang baik sebelum mampu berkembang secara mampan.
“Ketersambungan menyatukan rakyat, mewujudkan peluang dan memberi tenaga kepada sesebuah bandar,” jelasnya.
Beliau turut menekankan bahawa pembangunan seperti KSC memberi penekanan kepada perancangan pintar, mobiliti cekap, penjagaan alam sekitar serta penyediaan ruang yang kondusif untuk didiami, bekerja dan membesarkan keluarga.
Sehubungan itu, beliau berkata kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti amat penting dalam menjayakan agenda pembangunan negeri.
“Apabila pemaju seperti Imasa Dinasti melabur dengan visi dan tanggungjawab, kerajaan sentiasa bersedia untuk menyokong serta memudah cara,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berharap KSC akan menjadi simbol kejayaan baharu Miri, menarik bakat, mewujudkan peluang pekerjaan dan membuka ruang ekonomi kepada rakyat Sarawak.
Dalam pada itu, penganjuran sambutan TBC dan Iftar dalam satu majlis yang sama mungkin jarang diadakan di tempat lain, namun di Sarawak ia adalah sesuatu yang cukup semula jadi.
“Di sinilah kekuatan kita. Kita meraikan bersama, saling menghormati dan melangkah ke hadapan sebagai satu keluarga besar,” katanya.
Tambah beliau, TBC melambangkan permulaan baharu, keyakinan dan harapan, manakala Iftar mengingatkan tentang kesyukuran, kesabaran serta nilai kebersamaan.
Gabungan nilai ini jelas menggambarkan semangat Sarawak yang mesra, inklusif dan berpandangan jauh.
Sempena sambutan Tahun Kuda, beliau mengajak seluruh rakyat agar terus melangkah dengan penuh keyakinan dan perpaduan demi kemajuan negeri.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Sebastian Ting, ADUN Telang Usan Dato Dennis Ngau, Pengasas yang juga Pengerusi Imasa Dinasti Sdn Bhd Teo Ah Khing dan Timbalan Datuk Bandar Ariffin Mohamad.