Pustaka Miri blood donation campaign helps replenish blood supply.

Posted on 06 Apr 2026
Source of News: TVSarawak

 
Kempen Derma Darah anjuran Pustaka Negeri Sarawak, Miri pada 4 April ini.

This news is in Bahasa Melayu is from TVSarawak.

MIRI, 1 April: Pustaka Negeri Sarawak Bahagian Miri akan menganjurkan Kempen Derma Darah pertama bagi tahun 2026 pada Sabtu ini sebagai usaha berterusan menyokong keperluan bekalan darah di daerah berkenaan.

Menurut Pegawai Pengurusan Korporat Pustaka Miri, Shirley Szebah Mambai, kempen yang diadakan secara suku tahunan itu merupakan kerjasama antara Pustaka Negeri Sarawak dengan Hospital Miri menerusi Tabung Darah hospital berkenaan.

Beliau berkata, sebagai institusi yang berperanan sebagai pusat pembelajaran, pembangunan komuniti dan penyebaran maklumat, pihaknya turut komited menggalakkan amalan gaya hidup sihat serta memupuk semangat kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat.

“Penganjuran kempen ini mencerminkan komitmen berterusan dalam menyokong kesejahteraan komuniti melalui penyediaan platform yang mudah diakses bagi orang ramai menyumbang kepada keperluan bekalan darah negara.

“Kempen ini juga selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 3 (Kesihatan Baik dan Kesejahteraan) melalui usaha meningkatkan akses kepada bekalan darah yang selamat dan mencukupi, serta SDG 17 (Perkongsian untuk Matlamat) menerusi kerjasama strategik antara agensi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebagai penghargaan, 80 penderma terawal yang berjaya menderma darah akan menerima beg beras RATU HUMA seberat lima kilogram.

Kempen seterusnya dijadualkan pada 6 Mei, 15 Ogos dan 5 Disember tahun ini.

Program itu akan berlangsung di Ruang Legar Pustaka Miri bermula jam 9 pagi hingga 1 tengah hari dan terbuka kepada orang ramai yang layak untuk menderma.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Shirley Szebah Mambai di talian 085-422 525 atau melalui e-mel shirleysm@sarawak.gov.my