This news is in Bahasa Melayu is from TVSarawak
MIRI, 31 Mac: Kesemua kakitangan MASWings memilih untuk menyertai syarikat penerbangan baharu milik Sarawak, Air Borneo, sekali gus mencerminkan keyakinan penuh tenaga kerja terhadap hala tuju syarikat itu.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, berkata perkembangan berkenaan memberikan keyakinan baharu kepada kerajaan negeri dalam memastikan operasi AirBorneo dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Ketika kami menawarkan kakitangan sedia ada di MASWings untuk menyertai AirBorneo, saya agak bimbang berapa ramai yang akan menyertai.
“Tetapi syukur, 100 peratus kakitangan MASWings telah menyertai AirBorneo. Tidak seorang pun menolak tawaran kami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Seminar Ekonomi Altitud Rendah Program Keselamatan Penerbangan Sarawak 2026 di sini, hari ini.
Katanya, pihak pengurusan Air Borneo kini perlu terus memperkukuh keupayaan dan kapasiti operasi bagi memastikan syarikat itu mampu berkembang sebagai peneraju penerbangan serantau yang berdaya saing.
“Pihak pengurusan kini perlu terus memperkukuh keupayaan dan kapasiti operasi bagi memastikan AirBorneo mampu berkembang sebagai peneraju penerbangan serantau yang berdaya saing,” katanya lagi.
Menurutnya, sokongan penuh kakitangan itu menjadi asas penting dalam memastikan peralihan operasi kepada AirBorneo berjalan lancar tanpa sebarang gangguan sejak pengambilalihan dilaksanakan pada 1 Januari lalu.