Colorectal cancer still detected late,screening awareness must be improved.

Posted on 06 Apr 2026
Source of News: TVSarawak


Sean Huang Hong Siong pada majlis perasmian Kempen Kesedaran Kanser Kolorektal di Hospital Miri. Foto TVS

This news is in Bahasa Melayu is from TVSarawak


MIRI, 31 Mac: Kanser kolorektal terus menjadi antara ancaman kesihatan membimbangkan apabila banyak kes masih dikesan pada peringkat lewat, sekali gus menyukarkan rawatan serta mengurangkan peluang pemulihan.

Kaunselor Sean Huang Hong Siong berkata, justeru kesedaran dan saringan awal tidak boleh tertumpu pada waktu tertentu sahaja, sebaliknya perlu dilaksanakan secara berterusan bagi menyelamatkan nyawa.

“Kanser kolorektal adalah antara kanser paling biasa menjejaskan komuniti. Apa yang membimbangkan, banyak kes dikesan pada peringkat akhir, menyebabkan rawatan menjadi lebih sukar.

“Namun, kita perlu ingat satu mesej utama iaitu pengesanan awal mampu menyelamatkan nyawa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan teks ucapan Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang, pada majlis perasmian Kempen Kesedaran Kanser Kolorektal di Hospital Miri, di sini, hari ini.

Menurutnya, Hospital Miri terus mencatatkan jumlah kes baharu yang signifikan setiap tahun, sekali gus mengingatkan bahawa usaha meningkatkan kesedaran dan saringan perlu dilaksanakan secara konsisten.

“Keadaan ini menunjukkan kesedaran dan saringan tidak boleh bersifat bermusim, sebaliknya perlu diteruskan sepanjang tahun,” katanya.

Dalam pada itu, Adam Yii turut memuji komitmen Hospital Miri dalam memperkukuh perkhidmatan rawatan, termasuk melalui peluasan unit endoskopi serta penubuhan Klinik Navigasi Kanser Kolorektal bagi membantu pesakit sepanjang proses rawatan.

Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat supaya lebih peka terhadap kesihatan diri dengan menjalani saringan awal serta saling menyokong dalam usaha memerangi kanser berkenaan.