Operation Semut landings strengthen Kelabit community identity.

Posted on 06 Apr 2026
Source of News: TVSarawak
 
Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan Datuk Gerawat Gala ketika menghadiri ulang tahun ke-81 Pendaratan Payung Terjun Z Force di Bario. Foto Rurum Kelabit Sarawak

This news is in Bahasa Melayu is from TVSarawak.


MIRI, 31 Mac: Penganjuran ulang tahun ke-81 Pendaratan Payung Terjun Operasi SEMUT menjadi wadah memperkukuh identiti, warisan dan jati diri komuniti Kelabit di Bario.

Presiden Rurum Kelabit Sarawak, Dato Isaac Lugun berkata, peristiwa pendaratan itu merupakan titik perubahan besar kepada komuniti berkenaan, bukan sahaja dari sudut keselamatan, malah pembangunan sosial.

Beliau berkata, antara impak paling ketara ialah perkembangan pendidikan serta penyebaran nilai keagamaan yang membentuk asas pembangunan masyarakat Kelabit hingga kini.

“Daripada peristiwa itu lahir generasi yang menitikberatkan pendidikan dan nilai moral sebagai teras kemajuan komuniti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Program yang berlangsung pada 28 Mac itu diisi dengan persembahan kebudayaan, pameran sejarah serta sesi perkongsian membabitkan pemimpin masyarakat dan tetamu jemputan.

Inisiatif itu sekali gus memberi ruang kepada generasi muda memahami konteks sejarah kawasan tanah tinggi berkenaan.

Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala.

Program berkenaan dianjurkan oleh Rurum Kelabit Sarawak dengan kerjasama Majlis Bandaraya Miri (MBM) serta beberapa agensi kerajaan.

Penganjuran tahunan itu mencerminkan komitmen berterusan dalam memelihara sejarah tempatan sebagai sebahagian daripada naratif nasional, di samping mempromosikan Bario sebagai destinasi yang bukan sahaja terkenal dengan keindahan alam semula jadi, tetapi juga nilai sejarahnya yang signifikan.