Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Norizan Yahya, berkata rampasan itu hasil tindakan Cawangan Penguatkuasaan JKDM Stesen Miri bersama Anjing Pengesan Dadah (APD) selepas menerima maklumat daripada Zon Risikan Sarawak.
Beliau berkata, pada 16 Februari lalu kira-kira jam 1 tengah hari, sepasukan pegawai kastam menjalankan pemeriksaan terhadap tiga bungkusan kiriman di sebuah syarikat perkhidmatan kurier di Eastwood Industrial Park, Jalan Miri-Bypass.
“Hasil pemeriksaan mendapati dua bungkusan mengandungi ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja seberat 3,444 gram, manakala satu lagi bungkusan mengandungi tiga paket disyaki bunga ganja seberat 1,028 gram,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya, dadah berkenaan dipercayai cuba diseludup dengan mengikrarkan barangan sebagai alat ganti kenderaan serta produk pelabelan, selain menggunakan perkhidmatan kurier dari Kuala Lumpur ke Miri dengan maklumat kiriman dipalsukan.
“Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM204,064 dan tiada individu tampil menuntut kiriman berkenaan. Barang kes disita mengikut Seksyen 30(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan, jika tidak dihukum mati, sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, JKDM menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan termasuk rokok, minuman keras, mercun, dadah dan kenderaan melalui talian bebas tol 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat.