Miri recognized as ASEAN Clean Tourist City.

Posted on 06 Apr 2026
Source of News: TVSarawak

Bangunan Majlis Bandaraya Miri. Foto Billy Batang (TVS)

This news is in Bahasa Melayu is from TVSarawak.


MIRI, 30 Mac: Bandar raya Miri menerima pengiktirafan Anugerah Bandar Pelancongan Bersih ASEAN di bawah Piawaian Pelancongan ASEAN (ATS) bagi tempoh 2026 hingga 2028 di peringkat kebangsaan, sekali gus mengiktiraf bandar ini sebagai destinasi pelancongan bersih di rantau ASEAN.

Datuk Bandar Miri, Adam Yii Siew Sang berkata, Miri menerima pengiktirafan berkenaan, selain sebuah hotel tempatan yang turut diiktiraf di bawah kategori sama.

“Miri telah diiktiraf sebagai sebuah bandar pelancongan yang bersih. Bagi Sarawak, tempat lain yang menerima pengiktirafan ini ialah Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).

“Selain pihak berkuasa tempatan, terdapat satu lagi entiti yang telah menerima pengiktirafan ini, iaitu Pullman Miri Waterfront kita,” katanya pada sidang media Mesyuarat Majlis Penuh Ke-241 bagi bulan Mac 2026 di Majlis Bandaraya Miri (MBM), di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan jumlah pengunjung ke bumbung Bangunan MBM bagi Februari lalu merekodkan seramai 858 orang dengan purata kira-kira 30 pengunjung sehari.

Kemudahan tersebut dibuka kepada orang awam setiap hari dari jam 5 petang hingga 7 malam termasuk hujung minggu dan cuti umum bagi memberi peluang orang ramai menikmati pemandangan matahari terbenam di bandar raya itu. – TVS