MIRI, 29 Mac: Kejohanan Borneo Pickleball Championship 2026 berjaya menghimpunkan pemain dari seluruh Sarawak, Sabah dan Brunei Darussalam dalam suasana penuh semangat kesukanan serta persahabatan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala berkata, ia bukan sahaja menjadi platform pertandingan sukan, malah medan memperkukuh hubungan komuniti merentasi latar belakang dan generasi.
Menurutnya, suasana di gelanggang jelas memperlihatkan penyertaan pelbagai peringkat umur dan pengalaman daripada pemain muda yang pertama kali mencuba sukan pickleball hingga ke pemain berpengalaman yang mempamerkan kemahiran serta semangat kesukanan tinggi.
“Ini menggambarkan wajah sebenar komuniti kita berdiri bersama, bergerak bersama dan bermain bersama dalam semangat perpaduan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Gerawat berkata, penyertaan pemain dari Sarawak, Sabah dan Brunei membuka potensi besar untuk kejohanan tersebut berkembang menjadi piala sukan bertaraf serantau pada masa hadapan melibatkan penyertaan lebih luas termasuk Kalimantan.
“Yang lebih penting bukan kemenangan semata-mata, tetapi persahabatan yang terjalin, semangat saling menghormati dan kegembiraan sepanjang kejohanan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kejohanan berkenaan turut mencerminkan perkembangan positif semangat Taste of Borneo yang sebelum ini sinonim dengan perayaan budaya, makanan dan kraf, kini berkembang ke arena sukan dengan menggabungkan gaya hidup sihat serta identiti komuniti Borneo.
Beliau berharap Borneo Pickleball Championship akan terus berkembang sebagai karnival sukan serantau tahunan yang bukan sahaja menjadi medan pertandingan, tetapi juga platform mengeratkan hubungan masyarakat merentasi sempadan.-TVS