News

 

Construction of Miri CCGT Power Plant Starting 2024, Earthworks Targeted Early September 2023

Posted on 09 Sep 2023
Source of News: UKAS

The original news is in Malay Language from UKAS news



MIRI: Pembinaan infrastruktur Loji Kuasa Turbin Gas Miri atau ‘Miri Combined Cycle Gas Turbine (CCGT Miri) Power Plant’ dijangka akan dimulakan pada tahun 2024.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Adam Yii Siew Sang memberitahu, kerja-kerja tanah disasarkan bermula awal bulan ini (September 2023) dan mengambil masa sekitar 11 bulan sebagai persiapan mendirikan loji berkenaan.

“Kerja-kerja ini akan merangkumi penyediaan tapak termasuk tinjauan serta pembersihan tapak dan kemudiannya diikuti dengan kerja-kerja tanah untuk pembinaan (loji) bermula tahun depan.

“MBM telah memberi kelulusan untuk memobilisasikan kenderaan berat, pemasangan papan tanda projek pembinaan dan papan tanda sementara bagi amaran lalu lintas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh MBM pada Isnin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut itu menambah, sepanjang kerja tanah tersebut dilaksanakan, kesesakan lalu lintas akan berlaku memandangkan pergerakan kenderaan dan jentera berat akan meningkat di sekitar tapak projek iaitu di Lot 834, Jalan Pantai, Lutong, Miri.

“Orang ramai digesa agar mengambil langkah berjaga-jaga dengan mematuhi papan tanda, penghadang  dan langkah keselamatan yang dilaksanakan serta arahan daripada kakitangan tapak dan pihak berkuasa.

“Elakkan (daripada berada di sekitar) zon kerja melainkan perlu,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Loji Kuasa CCGT Miri dibangun sebagai langkah meningkatkan kecekapan pengeluaran tenaga serta mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

Projek tersebut dimiliki PETROS Power Sdn Bhd, yang merupakan anak syarikat milik penuh Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).  -EDISI UKAS