News

 

Sarawak government is committed to improving technology in all fields, Yii said

Posted on 17 Sep 2023
Source of News: Utusan Borneo

The Original news is in Malay Language in Utusan Borneo newspaper


MIRI: Kerajaan Sarawak komited dalam memastikan teknologi dalam semua bidang di sini terus dipertingkatkan termasuk bidang automotif, jelas Datuk Bandar Miri Adam Yii.

Justeru katanya, beliau menyokong usaha yang dilaksanakan oleh Sarawak Skills dengan kerjasama syarikat automotif di Miri melalui program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).

“Terdapat banyak kelebihan melalui kerjasama yang dilaksanakan ini, antaranya ialah program sebegini diberikan secara percuma kepada mereka yang terlibat selain menyediakan elaun kepada peserta.

“Bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta, tetapi syarikat automotif turut mendapat manfaat melalui insentif yang disediakan oleh SLDN,” katanya.

Yii berkata demikian dalam teks speech yang dibacakan oleh Kaunselor Vincent Huang pada sesi membina rangkaian antara Sarawak Skills bersama syarikat automotif tempatan di Dewan Kasawari, Blok Orkid, Lutong hari ini.

Hadir sama ialah Pengarah Eksekutif  Institusi Pengajian Kumpulan Sarawak Skill (Sarawak Skill) Hallman Sabri, Ketua Pegawai Strategik, Penglibatan Strategik dan Bahagian Pembangunan Perniagaan Sarawak Skills Mohamad Isham Fauzi, Ketua Pegawai Teknologi dan Tranformasi Pembelajaran Sarawak Skills Zakri Salleh, Pengarah Kampus Sarawak Skills dan ICATS Miri Syuhaira Mohd Zin, Pengurus Pusat Kemahiran Sarawak Savti Maccollin Jengok serta tetamu yang lain.

Menurut Yii, usaha kerjasama yang dilaksanakan itu akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan khususnya kepada bakat-bakat anak muda tempatan.

“Pada masa kini, pasaran kerja memerlukan pekerja yang berdaya saing dengan pelbagai kemahiran.

“Melalui latihan di bawah program SLDN ini, industri akan memperoleh pekerja yang berdaya saing selain peserta SLDN akan mendapat pengiktirafan di bawah Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK),” ujarnya.

Tambah Yii, beliau berharap program sedemikian dapat terus dilaksanakan bersama syarikat dalam bidang lain pada masa akan datang dalam usaha mengatasi masalah pengangguran di kalangan belia.

Antara objektif utama sesi networking terbabit dilaksanakan ialah untuk mewujudkan kesedaran kalangan industri tentang keperluan latihan kemahiran bagi memudahkan pertumbuhan kerjaya pekerja tempatan.

Selain itu, ia bagi membolehkan pekerja tempatan yang berpendidikan menengah ke bawah diiktiraf bagi kecekapan semasa mereka khususnya dalam bidang berdasarkan piawaian yang ditentukan oleh JPK.