The Original News is in Malay Language from Utusan Borneo Newspaper
MIRI: Karnival Rasa Borneo (Taste of Borneo) berjaya menghimpunkan semua kaum di Sarawak melalui kepelbagaian kebudayaan dan makanan yang diketengahkan setiap etnik di Miri.
Ahli Dewan Undangan Negeri Pujut, Adam Yii Siew Sang berkata perpaduan dalam kepelbagaian inilah yang menjadikan bandaraya Miri begitu unik dan menarik.
"Saya mengucapkan tahniah kepada Persatuan Cina Sarawak kerana menyahut cabaran untuk memulakan dan mengekalkan yang acara unik dengan menghimpunkan kesemua 19 persatuan lain dari pelbagai etnik," katanya pada Malam Deepavali dan Bollywood sempena Taste of Borneo di Stadium Miri, malam Isnin.
Adam juga berterima kasih yang tidak terhingga kepada Persatuan India Miri dan Persatuan Punjabi Miri atas usaha gigih melaksanakan Malam Deepavali dan Bollywood.
"Kita sangat gembira melihat usaha Persatuan India dan Punjabi Miri dalam memelihara dan mempromosikan budaya India di Miri serta bertindak sebagai jambatan budaya mereka untuk berhubung dengan kita semua," katanya.
Malam Diwali dan Bollywood yang dianjurkan oleh Persatuan India Miri dan Persatuan Punjabi Miri itu menjanjikan gabungan budaya, seni dan hiburan yang rancak.
"Diwali, yang dikenali sebagai Festival Cahaya, adalah salah satu perayaan India yang paling penting.
"Ia mewakili kejayaan cahaya mengatasi kegelapan, kebaikan mengatasi kejahatan dan pengetahuan mengatasi kejahilan.
"Kepentingan Diwali melangkaui sempadan agama, ia adalah perayaan yang menyatukan orang dalam semangat harapan, positif, dan kegembiraan," kata Adam lagi.
Malahan acara malam itu juga menyatukan dua dunia iaitu kerohanian dan muzik tradisional dan moden.
"Nilai yang ada dalam Diwali adalah bertepatan Karnival Rasa Borneo dengan slogannya, Perpaduan Dalam Kepelbagaian," katanya.
Hadir sama ialah isteri Adam, Rita Lau, Presiden Persatuan Cina, Ting Pang Soon, Pengerusi Jawatankuasa Karnival Rasa Borneo, Leong Soon Kian serta Presiden Persatuan India Miri, Kaunselor Karambir Singh dan Presiden Punjabi Miri Sardar Laban Singh.