Koh Yang Xu Miri Clan Heritage Monument recognized MBOR

Posted on 23 Dec 2023
Source of News: Utusan Borneo


The original news is in Malay Language from Utusan Borneo newspaper

Abang Johari menyaksikan penyerahan dokumen Monumen Warisan Ratusan Nama Keluarga kepada Majlis Bandaraya Miri daripada James Hii (kiri) kepada Datuk Bandar Miri Adam Yii.


MIRI: Persatuan Klan Koh Yang Xu Miri lakar sejarah apabila 133 nama keluarga yang dipahat pada Monumen Warisan Ratusan Nama Keluarga di Dataran Kipas Miri disenaraikan dalam Malaysia Book of Records (MBOR). 

Pengumuman bersejarah tersebut disampaikan Pegawai Operasi Kanan MBOR Lee Pooi Leng sambil disaksikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, hari ini. 

Pemilihan nama monumen ini sebagai 'Warisan' membawa maksud mewarisi etika, inspirasi, misi nenek moyang yang bijak dan memulakan generasi moden ke dalam warisan orang bijak supaya memberi inspirasi kepada masyarakat yang lebih besar. 

Reka bentuk monumen Warisan ini diilhamkan oleh unsur-unsur budaya tradisional China dibina berbentuk seperti kapal layar dan daun bagi melambangkan tradisi Cina dalam mengejar masa depan sambil mengingati ajaran dan budaya dari masa lalu. 

Kapal layar merupakan salah satu alat pengangkutan terpenting dalam sejarah China, mewakili sejarah panjang dan tradisi budaya Cina. 

Bukan sahaja kapal layar ini pembawa budaya perdagangan, ia juga memudahkan komunikasi dan kerjasama antara wilayah, oleh itu, kapal layar dianggap sebagai simbol membawa dan menyampaikan budaya Cina. 

Daun pula adalah simbol kehidupan mewakili kelahiran semula dan pertumbuhan, ia dimasukkan ke dalam reka bentuk untuk membawa maksud pembangunan berterusan dan pertumbuhan budaya sekaligus simbol harapan dan kemakmuran masa depan. 

Sementara, ratusan nama keluarga ialah salah satu komponen warisan budaya yang paling penting dalam budaya Cina, ia berkait rapat dengan pewarisan dan kemajuan budaya kaum Cina dari segi pendidikan, status sosial dan lain- lain. 

Perasmian monumen Warisan ini adalah turut bersempena dengan Konvensyen Klan Xu Sedunia ke-20 yang berlangsung di Miri bermula kelmarin hingga hari ini. 

Turut hadir ialah Pengarah Projek dan Pengerusi Kehormat Tetap Persatuan Klan Koh Yang Xu Bahagian Miri Dato Hii King Chiong, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting, Presiden dan Pengerusi Persatuan Klan Koh Yang Xu Bahagian Miri Khor Ooi Loong dan Pengerusi Penganjur Konvensyen Klan Xu Sedunia ke-20 James Hii.