News

 

Reduce the use of single-use plastic bottles

Posted on 28 Aug 2024
Source of News: Utusan Borneo
The original news is in Malay Language from Utusan Borneo newspaper



Yii menunjukkan poster kempen dan botol air keluli tahan karat, sempena pelancaran kempen tersebut hari ini. Turut kelihatan Ariffin (duduk kiri) dan Abdul Rahman (duduk kanan) serta ahli-ahli MBM dan para pegawai SAI yang lain.
 

MIRI: Sempena Hari Alam Sekitar Sedunia 2024, Majlis Bandaraya Miri (MBM) bekerjasama dengan Sar-Alam Indah Sdn Bhd (SAI), penyedia penyelesaian pengurusan sisa air untuk melancarkan Kempen 'Bawa Botol Anda Sendiri atau 'Bring Your Own Bottle' (BYOB).

Kempen ini bertujuan menggalakkan orang ramai membawa botol boleh guna semula mereka ke mana-mana acara atau aktiviti bagi mengurangkan pergantungan kepada botol plastik sekali guna. 

Selain tidak dapat terbiodegradasi, botol air mineral plastik sekali guna itu juga menyumbang kepada pencemaran tanah dan sungai, menurut Datuk Bandar Miri Adam Yii hari ini.

"Sempena melancarkan kempen ini pada hari ini, botol keluli tahan karat yang memaparkan mercu tanda pelancongan yang terkenal di Miri akan diedarkan kepada semua kakitangan MBM.

"Inisiatif dalaman ini bertujuan menyemai amalan mampan dalam MBM dan meluaskan budaya ini kepada masyarakat kita di luar sana, termasuk penduduk tempatan dan pelancong dalam fasa kempen seterusnya," ujar beliau.

Yii yang juga ADUN Pujut melancarkan kempen BYOB di bilik mesyuarat Dewan Bandaraya Miri di sini selepas mempengerusikan mesyuarat penuh bulanan ahli-ahli Majlis. 

Turut hadir menyaksikan pelancaran itu ialah Timbalan Datuk Bandar Kaunselor Ariffin Mohamad serta Pemangku Setiausaha Abdul Rahman Taupek. 

"MCC dan SAI amat komited terhadap penjagaan alam sekitar, terutama dalam melindungi sungai kita, yang berfungsi sebagai sumber air penting untuk keperluan harian. 

"Komitmen ini melangkaui usaha menangani pencemaran sisa air manusia termasuk menangani isu pencemaran plastik.

"Baru-baru ini kajian oleh Institut Kesihatan Nasional (NIH) telah mengesan kehadiran mikroplastik dalam air minuman kita, menimbulkan potensi risiko kepada alam sekitar dan kesihatan manusia. 

"Oleh itu, adalah penting untuk melindungi sungai kita daripada bahan pencemar ini, bagi memastikan kemampanan dan keselamatannya untuk generasi akan datang," tambah Yii. 

Dalam konteks ini, menurut beliau perkongsian MCC dengan SAI untuk meningkatkan kesedaran awam dan memperkasakan komuniti ke arah mengurangkan penggunaan botol plastik sekali guna secara aktif. 

Usaha ini juga katanya, secara langsung menandakan satu lagi langkah penting ke arah melindungi alam sekitar dan menggalakkan amalan mampan di seluruh bandar raya.