News

 

MCC begins to open nominations for the Mayor's Award

Posted on 28 Aug 2024
Source of News: Utusan Borneo
The original news is in Malay Language from Utusan Borneo newspaper



Yii (duduk, tiga kiri) menunjukkan logo Anugerah Datuk Bandar Ke-6 yang dibuka pencalonannya mulai hari ini. Turut kelihatan ahli-ahli MBM lain, yang turut menunjukkan logo, poster dan Kod QR bagi anugerah tersebut.
 

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) mulai membuka pencalonan untuk Anugerah Datuk Bandar Ke-6 bagi tahun 2024. 

Sebanyak 11 anugerah dibuka untuk pencalonan, iaitu Alam Sekitar; Pelancongan; Keselamatan dan Kawalan Keselamatan; Pendidikan; Belia, Kebudayaan, Kesenian & Sukan dan Bakat; Kesihatan Awam; Khidmat Masyarakat; Media & Akhbar, Pempengaruh Media Sosial; Kategori Terbuka (Penganjur & Pengurusan Acara, Penderma Darah); Anugerah Korporat dan Anugerah Khas Datuk Bandar Miri. 

Datuk Bandar Miri Adam Yii memberitahu, anugerah tersebut adalah untuk mengiktiraf warga dan organisasi yang bersemangat, mempunyai pemikiran ke arah masyarakat dan telah menyumbang secara signifikan. 

Katanya, calon-calon juga harus menunjukkan usaha luar biasa ke arah menjadikan Miri sebagai Bandar Peranginan yang indah, bukan hanya untuk diri mereka sendiri tetapi untuk semua orang termasuk jiran, rakan, pelancong dan masyarakat melalui tindakan tidak mementingkan diri dan dedikasi mereka. 

"Anugerah ini juga diadakan untuk menggalakkan lebih banyak komuniti dan organisasi terlibat secara sukarela dan terus mengekalkan dan memelihara Visi Bandar Raya Miri - Bandar Raya Peranginan Antarabangsa Yang Hijau, Pintar dan Paling Boleh Didiami, menjelang tahun 2030," ujar Yii. 

Beliau memberitahu demikian selepas melancarkan pembukaan pencalonan untuk anugerah tersebut di Dewan Bandaraya Miri di sini, hari ini, selepas mempengerusikan mesyuarat penuh bulanan ahli-ahli Majlis. 

Orang ramai boleh menghantar pencalonan sama ada dalam talian atau memuat turun borang dan menghantarnya terus atau menerusi e-mel kepada mcc.mayoraward@gmail.com atau terus ke Pejabat Seksyen Perhubungan Awam di Tingkat 5, Dewan Bandaraya Miri, Marina Bay di sini.

Untuk maklumat lanjut mengenai Anugerah Datuk Bandar, sila layari laman web rasmi Majlis Bandaraya Miri dan laman Facebook atau hubungi Bahagian Perhubungan Awam di talian 085-424111. 

Penyerahan untuk pencalonan boleh dibuat melalui Kod QR yang boleh didapati dengan melayari laman web MBM atau Facebook.