THE ORIGINAL NEWS IS IN MALAY LANGUAGE FROM UTUSAN BORNEO NEWSPAPER
MIRI: Vesolutions Pump Track yang sedang dalam pembinaan di Taman Bulatan Miri akan menjadi tapak aksi sukan ekstrem berbasikal yang ke-1058 dalam peta 'pump track' dunia setelah siap kelak.
Timbalan Menteri Pelancongan Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Sebastian Ting berkata, projek yang menelan perbelanjaan RM600,000 itu dijangka siap bulan depan.
Bercakap kepada pemberita, pembinaannya yang menggunakan dana Program Transformasi Luar Bandar (RTP) telah bermula pada 11 November lalu menggunakan khidmat pekerja ekspatriat untuk memastikan projek mencapai standard antarabangsa.
"Setelah siap pada awal Disember, nama Miri akan menjadi yang ke-1058.
"Sehingga sekarang terdapat 1,057 'pump track' dalam peta di seluruh dunia," jelas Ting selepas mengadakan lawatan di tapak projek pagi tadi.
Ting yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau berkata, 'pump track' yang popular untuk penunggang 'mountain bike' itu juga adalah yang pertama dibina di Malaysia dengan jarak sejauh 251 meter.
Projek melibatkan kerjasama pejabat Ting, pihak Majlis Bandaraya Miri (MBM) dan Chorts Incorporation iaitu rakan kongsi Malaysia Velosolutions.
"Kontraktor telah menggunakan khidmat empat pekerja dari luar negara untuk melaksanakan projek ini dan semestinya akan mencapai standard antarabangsa, sekali gus nama Miri akan dimasukkan dalam peta 'pump track' dunia," jelas Ting.
Ting berharap untuk menganjurkan kejohanan peringkat antarabangsa di Miri pada tahun depan.
Sementara itu, Pengurus Besar Chorts Incorporation Vince Yong berkata, Vesolutions merupakan peneraju global dalam pembinaan 'pump track' dan telah membina lebih daripada 1,050 trek di seluruh dunia.
Dengan adanya trek itu kelak, Yong yakin Miri berkemampuan menjadi tuan rumah untuk kejohanan dunia Red Bull UCI Pump Track.