Datuk Bandar Miri Adam Yii berkata, ia adalah satu pencapaian penting dan masa untuk warga Miri mengenang perjalanan bandar ini sebagai sebuah bandar raya dan melihat ke hadapan ke arah kejayaan yang lebih besar.
Justeru katanya, kalendar Mayfest 2025 kali ini lebih padat dan meriah dengan pelbagai jenis aktiviti dan acara yang mencerminkan keunikan bandar raya ini dan kepelbagaian suku kaum yang mendiaminya.
“Mayfest tahun ini amat istimewa dan bermakna kerana kita menyambut Ulang Tahun Ke-20 Bandar Raya Miri.
“Oleh yang demikian, saya berasa bangga untuk berkongsi bahawa lebih daripada 31 acara dan program menarik telah dikemukakan oleh pelbagai persatuan dan penganjur untuk Mayfest 2025, merangkumi persembahan kebudayaan, pertandingan sukan, pameran, karnival, pesta makanan, kempen amal serta inisiatif pembinaan komuniti,” ujarnya.
Yii berkata demikian semasa berucap melancarkan Mayfest 2025 di sebuah hotel di sini, petang tadi.
Majlis itu turut dihadiri oleh Timbalan Datuk Bandar Kaunselor Ariffin Mohamad, Residen Miri Galong Luang, Pemangku Setiausaha Majlis Bandaraya Miri (MBM) Abdul Rahman Taupek serta pengerusi penganjur sambutan Ulang Tahun Ke-20 Bandar Raya Miri Kaunselor Leslie Lau Ik Chie.
Mengulas lanjut Yii berkata, program-program itu direka untuk semua lapisan masyarakat, memastikan ada sesuatu yang menyeronokkan, bermakna dan boleh dinikmati oleh semua peringkat umur.
“Seperti yang diketahui ramai, Mayfest bukan sekadar sambutan tahunan, malah ia adalah satu tradisi yang meriah yang menghimpunkan masyarakat kita, budaya, bakat dan idea.
“Ia adalah satu platform untuk kita meraikan kepelbagaian di Miri, mempamerkan komuniti tempatan kita dan mewujudkan ruang untuk semua lapisan masyarakat berkumpul, menyertai dan menikmati pelbagai acara.
“Seiring dengan itu, saya juga dengan sukacitanya mengumumkan Karnival Ulang Tahun Ke-20 Bandar Raya Miri, bertemakan 'Karnival Perpaduan Pelbagai Kaum' yang akan berlangsung selama 10 hari dengan pelbagai aktiviti meriah untuk melibatkan orang ramai serta memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian kita.
“Antara acara kemuncaknya, kita akan menganjurkan Konsert Rakyat sepanjang tempoh karnival, dengan barisan artis hebat termasuk Baby Shima, Vanessa Reynauld dan pelbagai persembahan menarik lain,” katanya.
Sempena pelancaran Mayfest 2025 semalam juga, Yii menyeru semua persatuan, organisasi dan individu untuk terus mengemukakan cadangan acara dan program yang dapat menyatupadukan komuniti di Miri, memperkukuh perpaduan dan memupuk rasa kebersamaan yang lebih kuat.
“Marilah kita juga memberi tumpuan kepada inisiatif yang memberi manfaat kepada masyarakat, program yang membangunkan, memperkasa dan menyantuni golongan yang memerlukan,” tambahnya.