The development of KSC Miri is Borneo's collaborative agenda

Posted on 04 Jul 2025
Source of News: Utusan Borneo


Original News In Malay

MIRI: Pembangunan bandar raya pintar di Miri yang dinamakan Kenyalang Smart City (KSC) merupakan langkah berani Sarawak untuk menjadikannya pemangkin pertumbuhan di utara negeri, sekali gus menjadi satu agenda kolaboratif untuk Borneo.

Datuk Bandar Miri Adam Yii ketika membentangkan visi berani bagi masa depan Miri itu pada sesi Meja Bulat Perdagangan Borneo 2025 yang berlangsung di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam semalam, turut mengajak para pelabur dari rantau Borneo untuk sama-sama berkolaboratif dalam projek mega tersebut.

Yii pada sesi pembentangan bertajuk 'Borneo Terhubung: Memajukan Perdagangan, Bakat dan Transformasi' memberitahu, projek pembangunan KSC serta penyertaan Universiti Fudan, salah satu institusi terkemuka dari China, merupakan pemangkin pembangunan Miri dan menjadikan bandar raya itu sebagai hab inovasi dan pendidikan serantau.

Beliau turut mengesahkan bahawa perbincangan dan kerja asas sedang giat dijalankan untuk Universiti Fudan menubuhkan kampus Asia Tenggaranya di Miri.

“Fakulti perubatan Universiti Fudan adalah salah satu daripada hanya dua ijazah perubatan dari China yang diiktiraf oleh pihak berkuasa Malaysia.

“Perancangan mereka untuk menubuhkan pusat perubatan integratif di Miri, menggabungkan perubatan tradisional Cina dengan amalan klinikal Barat, akan meletakkan Miri secara strategik untuk menarik pelancong perubatan dan mempertingkatkan ekosistem penjagaan kesihatan awam,” katanya.  

Beliau turut mendedahkan bahawa fasa pertama kehadiran universiti itu akan bermula di bangunan lama Majlis Bandaraya Miri (MBM) yang akan dihidupkan semula sebagai pusat latihan, ruang penyelidikan dan klinik berteknologi kecerdasan buatan (AI).

“Kemudahan ini bukan sahaja akan memenuhi keperluan masyarakat tempatan, malah turut menarik pelajar dan penyelidik antarabangsa ke Miri,” tambah beliau.

Bertemakan 'Keutamaan Perdagangan Serantau, Aspirasi Bersama: Merangka Agenda Kolaboratif Untuk Borneo', sesi meja bulat tersebut menghimpunkan lebih 30 delegasi perniagaan berprofil tinggi dari Sabah, Sarawak, Brunei Darussalam dan Kalimantan, Indonesia.

Sesi ini menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin perniagaan dan institusi serantau untuk berdialog secara proaktif mengenai cara Borneo boleh membina ruang ekonomi yang lebih berhubung secara fizikal, digital dan institusi.

Perbincangan turut meneliti peluang strategik untuk menyeragamkan pembangunan infrastruktur, pendigitalan perdagangan dan membuka potensi pertumbuhan baharu dalam sektor seperti tenaga, makanan, pelancongan dan penjagaan kesihatan.

Sementara itu, pemaju pembangunan KSC dan Universiti Fudan, Imasa Dinasti Sdn Bhd, anak syarikat Kumpulan TAK turut menjadi antara peserta utama sesi tersebut, sekali gus memperkukuh peranan kepimpinan syarikat tersebut dalam membentuk masa depan pembangunan bandar pintar dan mampan di Borneo.

Pembangunan KSC merupakan kerjasama pintar syarikat itu dengan pihak Kerajaan Sarawak.

Ia sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030) yang memberi tumpuan kepada kelestarian, inovasi dan kemajuan digital.

Dalam pada itu, Yii turut berkongsi bahawa Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) sedang giat memperkenalkan Sarawak Pass, satu alat digital untuk memudahkan pergerakan rentas sempadan di Sungai Tujoh.

SMA kini berbincang dengan pihak berkuasa Brunei untuk memastikan pelaksanaan yang lancar, sekali gus mengurangkan kesesakan dan memperkukuh hubungan ekonomi dan sosial antara kedua-dua wilayah.

Turut hadir ialah Ahli ASEAN-BAC merangkap Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Brunei Darussalam Abdul Saman Ahmad, Pengerusi APEC Business Advisory Council Brunei dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Bank Brunei Pengiran Aki Ismasufian Pengiran Ibrahim serta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Sabah Berhad Dr Firdausi Suffian.

Acara tersebut dianjurkan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) Brunei dan Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC) Brunei, dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Ekonomi.