RM450 million Marina Bridge set to become Miri's tourism icon

Posted on 01 Aug 2025
Source of News: utusan borneo

Berita asal dalam Bahasa Melayu dari utusan borneo



MIRI: Jambatan Marina yang merentangi kuala Sungai Miri bernilai RM450 juta bakal menjadi salah satu lagi ikon pelancongan di bandar raya peranginan ini. 

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata jambatan yang dibina dengan konsep ‘cable-stayed’ sepanjang 650 meter ini akan menghubungkan Marina City, Miri Town Square dengan Pulau Melayu, Kelab Golf Miri dan seterusnya ke Kuala Baram, ke pelabuhan baru Miri kelak, dengan struktur menaik sehingga ke paras 60 kaki tinggi. 

“Ia akan menjadi satu ikon untuk Miri. Dengan adanya rekaan yang serupa dengan Jambatan Jepak (di Bintulu) yang akan dirasmikan esok maka Sarawak mempunyai tarikan-tarikan laluan yang agak menarik untuk para pelancong yang datang ke negeri ini,” katanya.

Bercakap kepada pemberita semasa sidang media selepas merasmikan majlis pecah tanah Jambatan Marina, di sini, hari ini, Abang Johari berkata, ia akan melengkapkan Miri sebagai sebuah bandar raya peranginan di utara Sarawak. 

“Kalau mahu menjadi sebuah ‘resort city’ (bandar raya peranginan), kita mesti mempunyai kelengkapan dan juga infrastruktur yang dibangunkan seperti yang terdapat di bandar-bandar pelancongan yang lain,” katanya sambil menambah kerajaan negeri akan bekerjasama rapat dengan wakil-wakil rakyat di Miri dan Pejabat Residen untuk perancangan pembangunan di Miri dan kawasan sekitarnya serta di utara Sarawak. 

Ketika ditanya mengenai Jambatan Piasau sedia ada, yang menghubungkan Miri dengan kawasan Pulau Melayu di seberang Sungai Miri, sama ada masih diperlukan atau sebaliknya apabila Jambatan Marina siap kelak, beliau berkata, ia bergantung kepada keperluan dan kehendak semasa kelak dan jika perlu, kajian akan dilakukan. 
  
Terdahulu, dalam ucapannya di majlis pecah tanah tersebut, Abang Johari turut membayangkan keindahan pemandangan dari Jambatan Marina tersebut menjadikan Miri umpama ‘San Francisco’ Malaysia. 

Abang Johari menunjukkan tanda bagus bersama-sama pemimpin yang lain, selepas melakukan simbolik pecah tanah pembinaan Jambatan Marina di Miri hari ini.
Abang Johari menunjukkan tanda bagus bersama-sama pemimpin yang lain, selepas melakukan simbolik pecah tanah pembinaan Jambatan Marina di Miri hari ini.

“Dari atasnya, kita dapat melihat (bandar raya) Miri, sebelah laut, sebelah lagi berbukit dan dengan angin laut yang bertiup, siapa yang tidak mahu berhenti singgah untuk menikmati pemandangan indah ini dan mengambil gambar. Di mana ni? San Francisco kah Miri?” 

Tambahnya tarikan itu kelak, pastinya akan mengundang keinginan pelancongan untuk datang dan melihat sendiri keindahan ‘San Francisco’ Malaysia itu. 

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata Kerajaan Negeri juga turut merancang untuk membangunkan sebuah resort di kawasan Beraya, yang terletak di antara Miri dengan Tapak Warisan Dunia UNESCO – Taman Negara Niah, sebagai pelan jangka panjang untuk memajukan industri pelancongan di bahagian ini, apatah lagi Sarawak ini, sudahpun memiliki penerbangannya sendiri, Air Borneo.

“Sebab itu saya berani melabur untuk membangunkan infrastruktur di negeri ini. Apabila kemudahan ini siap, ekonomi Sarawak akan turut melonjak,” katanya.  

Abang Johari berkata selain memiliki tarikan pelancongan dari sini landskap fizikal, Miri juga turut memiliki budaya yang unik dan amat menarik, datang dari kepelbagaian etniknya, yang menambahkan lagi minat pelancong untuk datang ke sini. 

Beliau menambah, Sarawak turut memiliki dasar Kerangka Kerja Pembangunan Mampan 2030 yang menjadi pemangkin kejayaan dan kemajuan Sarawak, yang seiring dengan Matlamat Pembangunan Mampa (SDG) yang dituntut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan Sarawak termasuk di dalamnya kerana memilik sumber serta tenaga yang bersih. 

Turut hadir ialah kedua-dua Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr Sim Kian Hui, serta menteri-menteri dan timbalan menteri Kabinet negeri dan persekutuan, wakil rakyat, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta Residen Miri Galong Luang.