Miri Craft Festival 2025 from 10 to 14 December

Posted on 08 Dec 2025
Source of News: Utusan Borneo
nes

this news in Melayu from Utusan Borneo

MIRI: Sebagai usaha meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan dan keunikan industri kraf tempatan, Majlis Kraf Sarawak (MKS) akan menganjurkan Festival Kraf Miri 2025 bermula 10 hingga 14 Disember ini di Pusat Kebudayaan Forum di sini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MKS Suriya Charles Buas, festival selama lima hari ini akan menampilkan 90 gerai yang merangkumi jualan dan pameran kraf tempatan, jualan makanan dan minuman, serta persembahan kebudayaan. Turut diadakan sesi town hall yang membolehkan dialog interaktif antara penggiat industri kraf di Miri dan kawasan berdekatan bersama wakil kerajaan serta agensi berkaitan.

“Festival ini turut menampilkan rakan strategik seperti Forum, Pejabat Residen, Majlis Bandaraya Miri (MBM), Sarawak Tourism Board, UKAS, RTM, serta kolaboratif bersama Kumpulan Menyumpit dan Kelab Wanita Wawasan Baram.

“Antara acara menarik yang disediakan ialah pertandingan nyanyian Suara Emas dan pertandingan menyumpit Borneo Blowpipe Challenge 2025,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurut Suriya, penganjuran Festival Kraf Miri kali ini lebih berskala besar berbanding sebelumnya yang dilaksanakan di pusat beli-belah.

"Kita percaya dengan adanya lokasi yang sesuai dan juga kemudahan yang dapat memenuhi keperluan kita untuk penganjuran kali ini, Festival Kraf Miri 2025 mampu menarik lebih ramai pengunjung berbanding sebelum ini yang diadakan berskala kecil dan di pusat beli-belah.

“Pada penganjuran kali ini, kita turut menerima penyertaan daripada negara jiran Brunei, Labuan, Lawas, Sabah dan Sarawak.

“Justeru, melalui penganjuran festival ini, kita berharap dapat meningkatkan kesedaran dan minat masyarakat terhadap kraf tempatan di bahagian Miri dan kawasan utara Sarawak,” katanya.