MPA officially opens first shore power facility in Miri

Posted on 08 Dec 2025
Source of News: Utusan Borneo
news

This News in Melayu from Utusan Borneo

MIRI: Lembaga Pelabuhan Miri (MPA) merasmikan kemudahan 'shore power' atau 'cold ironing' pertama di Miri di Terminal Pertukaran Anak Kapal Lembaga Pelabuhan Miri (MPACCT), Pulau Melayu hari ini.

Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Pandang Semat berkata, langkah tersebut menandakan satu detik penting dalam usaha MPA menuju operasi pelabuhan yang lebih hijau dan lestari.

Beliau hadir mewakili Pengerusi MPA Dato Paulus Gumbang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau.

Pencapaian itu direalisasikan melalui kerjasama strategik antara MPA dan TotalEnergies EP Malaysia yang telah bermula secara rasmi pada Mei 2025.

Menurut Pandang, di bawah kerjasama ini TotalEnergies menaja sepenuhnya sebuah unit 'shore power' di Dermaga 5 MPACCT dan komited untuk menyambungkan kapal-kapalnya kepada fasiliti tersebut setiap kali ia berlabuh di terminal itu.

Kemudahan tersebut merupakan teknologi transformatif yang membolehkan kapal mematikan penjana di atas kapal dan mendapatkan bekalan elektrik bersih terus dari terminal pelabuhan.

"Matlamat utama inisiatif ini adalah jelas, iaitu untuk mengurangkan pelepasan dan penggunaan bahan api serta pencemaran bunyi semasa kapal berlabuh,' jelas beliau.

Pandang yang juga Ahli Lembaga Pengarah MPA memberitahu, kemudahan itu juga bertujuan untuk mewujudkan operasi harian pelabuhan yang lebih bersih, keadaan kerja yang lebih selamat serta kualiti udara yang lebih baik untuk para pengguna pelabuhan dan komuniti berdekatan.

Selain itu, ia mengurangkan kehausan dan kerosakan enjin, serta menyumbang kepada matlamat jangka panjang elektrifikasi maritim, kerana ia membolehkan kapal mengecas bateri semasa berlabuh di terminal.

"Pentauliahan unit pertama ini hanyalah permulaan.

"Ia menandakan satu langkah penting ke arah melengkapkan semua dermaga Minyak & Gas di MPACCT dan dermaga Kargo Am MPA di Kuala Baram dengan kemudahan 'shore power' dan 'cold ironing' dalam tahun-tahun akan datang.

"Dengan ini, MPA meletakkan dirinya sebagai perintis dalam penerapan kemudahan 'shore power' dan 'cold ironing' di Miri serta memperkukuh kepimpinannya dalam usaha penyahkarbonan maritim," jelas Pandang.

Hadir sama Pengurus Besar MPA Serawa Budol, Pengarah Operasi TotalEnergies EP Malaysia Marc Geniteau, wakil Pengurusan Petroleum Malaysia (MPM), Petronas Carigali Sdn Bhd, Sarawak Shell Berhad dan ENEOS Xplora Malaysia Limited.