MIRI: Miri Arts Festival 2025 (MAF'25) akan menampilkan 15 pengkarya seni dari Sarawak, Sabah and Brunei serta memberi tumpuan kepada seni etnik dan budaya dalam pelbagai bidang kesenian yang akan berlangsung di Stadium Bandaraya Miri pada 31 Disember ini hingga 4 Januari depan.
Pengarah Media dan Komunikasi MAF 25 Zul BabaNoor berkata, antara pengkarya seni tersohor yang bakal memeriahkan MAF'25 ialah ikon dan pereka fesyen antarabangsa kelahiran Kuching Tom Abang Saufi, artis Orang Ulu Noel Belulok, artis Brunei Susannah Rogo Sitai Liew, artis Sabah Steward Fung Sai Weng, artis Sarawak Ashly Nandong, Dr Bell Su’ut, Nurafza Wasli, Hendick Nicholas, John Bosco Han Anderson Medan dan Jessica Landsay.
Turut serta ialah artis tatu Kenarau termasuk Sylvester Juli, Yanto Ribut, Dom Tattoo, Atam dan Ancora.
"Pada malam 31 Disember pula, MAF’25 menjadi kemuncak dalam sambutan tahun baharu 2026 dengan Konsert Mega Di Ambang Tahun Baharu menampilkan penyanyi Ayai Illusi," jelasnya.
Bertemakan 'Identiti Kita, Sarawak Kita', MAF’25 menampilkan lima segmen kesenian iaitu seni visual/tampak, seni persembahan, pasar seni, bicara seni dan pertandingan seni.
Aktiviti termasuk pameran seni visual, persembahan budaya dan kontemporari, jualan kraf serta produk seni tempatan, sesi perkongsian bersama penggiat seni dan tokoh budaya serta pelbagai pertandingan seperti tarian fusi, cabaran memasak Black Box Malaysia, showcase etnik Sarawak dan pertandingan mural serta fotografi.
Diasaskan pada 2024, MAF’25 dianjurkan oleh Dewan Usahahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Miri dengan kerjasama AX Events, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Perbadanan Pelancongan Sarawak (STB) dan Majlis Bandaraya Miri (MBM).
Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai untuk mengambil peluang menyaksikan keindahan seni, suara budaya dan kreativiti pengkarya seni dari Sarawak, Sabah dan Brunei.