MBM Patrol JKP wins SMART Community 2025 Bronze Award, announces community programs and public facilities

Posted on 24 Dec 2025
Source of News: Utusan Borneo Online
News

This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) berbangga mengumumkan kejayaan Jawatankuasa Penduduk (JKP) Rondaan MBM yang telah dianugerahkan Anugerah Gangsa SMART Community Award 2025 anjuran Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak.

Anugerah berprestij itu mengiktiraf peranan signifikan JKP Rondaan dalam memperkukuh keselamatan komuniti, memupuk kerjasama kejiranan serta mempromosikan amalan komuniti pintar di bandar raya ini.

Pelbagai inisiatif rondaan dan penglibatan sukarelawan telah memberi impak positif dengan meningkatkan tahap keselamatan, keyakinan awam serta penyertaan aktif masyarakat setempat.

MBM dalam kenyataan medianya hari ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua anggota rondaan serta sukarelawan atas dedikasi dan komitmen berterusan mereka.

“Kejayaan ini diyakini akan terus menjadi pemangkin kepada kerjasama kukuh antara pihak berkuasa tempatan dan komuniti ke arah membina Miri yang lebih selamat, pintar dan mampan,” jelas kenyataan itu.

Dalam perkembangan lain, MBM memaklumkan bahawa Miri City Hall Rooftop telah menerima seramai 843 pengunjung sepanjang Oktober 2025, namun mencatat sedikit penurunan berbanding bulan sebelumnya berikutan faktor cuaca yang kurang mengizinkan.

Kemudahan awam itu kekal dibuka kepada orang ramai setiap hari, termasuk cuti umum, dari jam jam 5 petang hingga 7 malam.

Seiring usaha mendekatkan pentadbiran dengan masyarakat, MBM turut memaklumkan bahawa Sesi Bertemu Pelanggan bulanan pertama bagi tahun 2026 akan diadakan pada Jumaat, 2 Januari 2026 dari jam 9 hingga 10 pagi di Pasar Besar Krokop 10.

Orang ramai dijemput hadir bagi menyuarakan pandangan, aduan serta cadangan demi penambahbaikan perkhidmatan dan kesejahteraan komuniti di Miri.