Don't cause public unrest, PBM reprimands social media portals

Posted on 24 Dec 2025
Source of News: Utusan Borneo Online
News

This news in Bahasa Melayu is from Utusan Borneo Online

MIRI: Pengerusi Persatuan Belia Miri (PBM) Mohd Aniq Ashwin Abuzar hari ini menegur kenyataan sebuah portal media sosial berhubung isu lesen perniagaan dan penguatkuasaan oleh Majlis Bandaraya Miri (MBM) yang tular. 

Beliau menegaskan bahawa naratif yang dibawa oleh portal tersebut jauh terpesong daripada kenyataan asal yang dikeluarkan dalam laporan akhbar tempatan melibatkan temuramah bersama Timbalan Datuk Bandar, Kaunselor Ariffin Mohamad. 

"Saya amat kesal dengan tindakan portal media itu yang menyebarkan tajuk berita mengelirukan berhubung isu penguatkuasaan premis di bandar raya ini.

Menurut kenyataan asal Timbalan Datuk Bandar Arifin Mohamad di akhbar, fokus utama MBM ketika ini adalah untuk memperhebatkan pemantauan terhadap premis berlesen susulan makluman daripada pihak polis mengenai insiden salah laku di beberapa pusat hiburan," jelasnya dalam kenyataan medianya  pada hari ini. 

Menurut Aniq, antara perkara penting yang disalahertikan termasuk, Arifin menjelaskan bahawa terdapat premis hiburan yang dikesan beroperasi tanpa lesen. 

Menurut Aniq, Ariffin telah mengarahkan pegawai MBM untuk lebih proaktif melakukan pemeriksaan tanpa menunggu sesuatu insiden berlaku terlebih dahulu.

"Berbeza dengan dakwaan tindakan keras secara terus, MBM mengamalkan prosedur yang adil,"tegas Aniq. 
 
Ariffin dipetik sebagai berkata, bagi pengusaha (termasuk perniagaan berasaskan rumah), tindakan kompaun tidak dikenakan serta-merta dan pihak berkuasa terlebih dahulu memberikan amaran dan tempoh masa untuk pengusaha mematuhi peraturan. 

Tindakan tegas hanya diambil sekiranya mereka gagal patuh selepas tempoh tersebut.

Ariffin telah dimaklumkan oleh pihak polis mengenai beberapa insiden salah laku dan MBM perlu lebih proaktif memeriksa premis tersebut, bukan hanya bertindak selepas sesuatu berlaku.

Beliau mengingatkan orang ramai agar sentiasa menyemak kesahihan berita melalui saluran media arus perdana bagi mengelakkan kekeliruan.

“Kami meminta pengendali portal media sosial untuk memberi pautan berita yang sahih sekiranya ada isu-isu berkaitan sebagai rujukan kepada pengikut,” tambahnya.