Anak jati Miri jadi peneraju Sarawak Asset

Posted on 24 Dec 2025
Source of News: TVSarawak
News

This news in Bahasa Melayu is from TVSarawak

MIRI, 23 Dis: Perjalanan kerjaya seorang anak jati Miri, Shalby Reduan, kini membuka lembaran baharu apabila beliau dilantik sebagai Pengurus Besar Kanan PETRONAS Carigali Sarawak Asset (SKA), entiti strategik yang menggerakkan operasi luar pesisir di perairan Sarawak.

Beliau berkata, minatnya terhadap industri minyak dan gas bermula sejak kecil, hasil pendedahan daripada kedua-dua belah keluarganya yang lama bekerja dalam sektor berkenaan.

“Kerjaya ini memberi peluang untuk saya belajar dan membentuk diri menjadi individu yang saya patut jadi. Memang sejak dahulu lagi impian saya adalah untuk bekerja dalam industri minyak dan gas kerana keluarga saya dari sebelah ayah dan ibu semuanya dalam industri ini. Akhirnya saya sendiri jatuh cinta dengan bidang ini,” katanya kepada TVS hari ini.

Anak bongsu daripada enam beradik itu memulakan kerjayanya di syarikat kontraktor WEHAYA sebelum menyertai Shell pada tahun 2002 sebagai Jurutera Instrumentasi, namun pendedahan kepada bahagian operasi mengubah hala tujunya.

Beliau kemudiannya menyertai PETRONAS dan mula menonjol dalam bidang operasi sehingga memegang beberapa jawatan penting, termasuk mengetuai Upstream Logistics peringkat nasional. Pada tahun 2024, Shalby ditugaskan ke Sudan Selatan untuk menyelia proses keluar PETRONAS dari negara tersebut.

“Kedengarannya mudah, tetapi hakikatnya tidak. Saya perlu memastikan operasi tetap berjalan lancar selepas kami keluar. Proses peralihan ini sangat penting dan memerlukan banyak perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan dan rakan kongsi. Ia satu pencapaian besar apabila saya berjaya membawa keluar operasi kami dari Sudan Selatan dengan selamat,” ujarnya.

Pengalaman itu memantapkan kepimpinan Shalby sebelum kembali ke Miri untuk menerajui SKA yang berpangkalan di Lutong, tempat lahirnya industri petroleum Malaysia. Pelantikan itu, katanya, adalah peluang untuk berkhidmat kepada negeri sendiri.

“Saya rasa saya perlu lakukan lebih lagi kerana saya berasal dari Miri. Saya mahu tunjukkan kemampuan saya dan pada masa yang sama memberi kembali kepada komuniti, bukan sahaja kepada syarikat.

“Saya belajar banyak dengan bertanya, memerhati dan memahami keputusan yang dibuat pemimpin kami. PETRONAS menggalakkan kita bertanya soalan, dan dari situlah saya banyak belajar,” tambahnya.

Kini dengan lebih 20 tahun pengalaman, Shalby bertekad membawa SKA terus maju sebagai contoh operasi huluan terbaik PETRONAS, selain membimbing lebih ramai bakat tempatan untuk menerajui industri tenaga pada masa depan.

Perjalanannya daripada seorang anak jati Miri yang membesar berhampiran tapak industri, kepada peneraju entiti strategik negara menjadi cerminan keupayaan dan dedikasi anak Sarawak dalam mengangkat industri minyak dan gas ke peringkat global.—TVS