picture

News

 

Miri City Day is celebrated in an international event

Posted on 30 Apr 2023
Source of News: Utusan Borneo

THE ORIGINAL CONTENT OF THE NEWS IN UTUSAN BORNEO IS IN MALAY



MIRI: Hari Bandar Raya Miri Ke-18 tahun ini diraikan dalam acara bertaraf antarabangsa selepas Majlis Bandaraya Miri (MBM) memutuskan menjemput bandar-bandar 'rakan mesra' bandar raya Miri dari luar negara hadir meraikan sambutan tersebut. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut yang juga Datuk Bandar MBM Adam Yii berkata, usaha itu juga merupakan salah satu strategi mereka mempromosikan Miri di peta pelancongan antarabangsa. 

“Dalam budaya Barat, usia ke-18 adalah tahun penting menjadi dewasa. 

“Maka MBM telah membuat keputusan mengantarabangsakan Hari Bandar Raya Miri dengan menjemput bandar-bandar mesra dengan bandar raya Miri datang meraikan majlis istimewa itu.

“Bandar-bandar mesra ialah Kanada, Filipina, Korea Selatan dan bandar-bandar utama lain di China. 

“Pada masa ini, ia adalah prospektif kami terus mengemas kini acara menjelang perayaan itu,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat majlis penuh MBM di sini hari ini.

Sehubungan itu, MBM menggalakkan lebih banyak acara sukan dan kebudayaan diadakan di bandar raya ini sebagai satu cara untuk menarik lebih ramai pelancong asing dan dari negara jiran, Brunei datang ke Miri. 

Yii berkata, dialog diadakan antara beberapa agensi termasuk Tourism Malaysia membincang dan mencadangkan beberapa kaedah menarik pelancong datang ke Miri antaranya ialah menganjurkan lebih banyak acara tarikan pelancong.

“Menerusi cadangan ini, kami mengenal pasti beberapa acara berpotensi menarik ramai pelancong datang ke sini. 

“Antaranya, maraton dan acara sukan lain sebenarnya agak popular dalam kalangan rakyat Brunei, jadi ini adalah perkara yang boleh kita lihat,” katanya.

Isu-isu lain dibincangkan dalam dialog MBM dengan Pusat Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Sungai Tujoh, Jabatan Imigresen, Pelancongan Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup adalah meningkatkan kecekapan pusat pemeriksaan CIQ Sungai Tujoh, keselamatan pelancong ketika melakukan perjalanan di Miri dan isu pencatutan.

“Kami membincangkan cara memudahkan prosedur dan cadangan meningkatkan kapasiti operasi di pusat pemeriksaan ini bagi membolehkan kemasukan pelancong ke negara ini lancar. 

“Lagipun, pusat pemeriksaan imigresen adalah kesan pertama pelancong sesebuah negara,” jelasnya.

Menurutnya, MBM juga sedia bekerjasama dengan polis dalam meningkatkan keselamatan bandar raya Miri bagi membolehkan pelancong berasa selamat ketika melakukan perjalanan ke sini.

Bagi isu pencatutan, Yii berpendapat perkara itu bukan perkara biasa dan tidak kerap berlaku kerana peruncit Malaysia mempunyai amalan baik memaparkan harga bagi memaklumkan harga barangan kepada pengguna.

"Kami juga memberi beberapa cadangan kepada pengusaha hotel untuk meningkatkan acara mereka supaya standard perkhidmatan dan kemudahan mereka dapat mencapai jangkaan," katanya.