News

 

Miri Sentral Bus Terminal completed by end of December

Posted on 08 Nov 2023
Source of News: Utusan Borneo

The original news is in Malay Language from Utusan Borneo newspaper

Terminal bas baharu bernilai RM26 juta di Jalan Miri-Bypass itu kini sudah 97 peratus siap



MIRI: Kerja-kerja pembinaan projek Terminal Bas Miri Sentral di Jalan Miri-Bypass di sini dijangka siap penghujung Disember tahun ini.

Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata terminal bas baharu bernilai RM26 juta itu kini sudah 97 peratus siap.

“Pembinaan terminal bas baharu ini dijangka siap hujung bulan depan dan diserahkan kepada Majlis Bandaraya Miri (MBM) pada Januari tahun depan.

“Selepas itu, terpulang kepada MBM memutuskan cara menguruskan operasi terminal itu nanti,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek itu di sini hari ini.

Turut menyertai Lee meninjau kerja-kerja pembinaan projek itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut merangkap Datuk Bandar MBM Adam Yii, pasukan kejuruteraan MBM dan penasihat teknikal projek serta kontraktor terlibat.

Semasa pemeriksaan, ADUN Senadin itu meminta kontraktor membuat sedikit penambahbaikan dan pengubahsuaian terhadap projek tersebut.

Beliau meminta kementeriannya dan MBM memastikan pengurusan Terminal Bas Miri Sentral berada di landasan betul, menampung bas jarak jauh dari Kuching serta bandar lain di negeri ini dan bas dari Indonesia pada masa akan datang.

Pada masa sama, Lee berkata terdapat keperluan untuk menyediakan tempat letak kereta mencukupi untuk orang ramai di kawasan itu.

Bagi memastikan aliran trafik cekap, beliau juga berkata perlu membesarkan Jalan Cahaya yang kini merupakan jalan satu lorong dengan menaik taraf kepada dua lorong.

“Kementerian saya sebenarnya sudah mengemukakan tiga cadangan menaik taraf Jalan Cahaya, Jalan Padang Kerbau dan jalan penghubung Pujut menghubungkan Pujut Corner kepada dua lorong berikutan aliran trafik padat di kawasan itu.

"Kementerian saya berhubung dengan Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan meletakkan ketiga-tiga projek ini sebagai keutamaan pelaksanaan," katanya. 

Terminal bas baharu itu apabila siap sepenuhnya mempunyai 12 premis penjualan tiket, 10 unit kedai, 21 platform bas, dua kafe, 12 ruang teksi, ruang menunggu serta tandas awam. 

Sementara itu, Yii berkata terminal bas baharu itu menggantikan terminal bas sedia ada di Pujut Corner di sini.

Yi memberitahu, MBM bercadang menukar kemudahan terminal bas sekarang di Pujut Corner menjadi pasar borong dan pasar buah-buahan bermusim.