The original news is in Malay Language from Utusan Borneo newspaper.
MIRI: Ahli perniagaan terkemuka Miri Datuk Profesor (Dr) Lau Siu Wai merupakan penerima Anugerah Khas Datuk Bandar Miri 2023 bagi mengiktiraf sumbangan dan jasa beliau kepada pembangunan di Miri.
Anugerah khas berprestij daripada Majlis Bandaraya Miri (MBM) itu disampaikan Datuk Bandar Miri Adam Yii kepada Lau yang merupakan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Miri Housing, semasa Majlis Penyampaian Anugerah Datuk Bandar Miri 2023 di Eastwood Valley Golf and Country Club (EVGCC) semalam.
Ahli perniagaan berusia 92 tahun itu menerima pengiktirafan ini atas sumbangannya yang luar biasa kepada pembangunan pendidikan dan sebagai pengasas beberapa sekolah swasta di Miri, termasuk Sekolah Menengah (SM) Pei Min, SM Miri dan SM Riam Road.
Beliau juga telah memainkan peranan penting dalam memujuk Curtin University, Australia Barat untuk menubuhkan sebuah kampus luar pesisir di Miri yang dikenali sebagai Curtin Malaysia.
Di samping itu, beliau telah mencapai kejayaan sebagai pemaju dan telah membina estet perumahan di Piasau, Hilltop, Desa Senadin dan hartanah di Pusat Komersial Bintang Jaya dan Hotel Meritz.
Selain anugerah khas itu, Yii yang juga ADUN Pujut turut menyampaikan anugerah dalam pelbagai kategori kepada penerima yang lain.
Anugerah Young Achiever diberikan kepada lima penerima muda iaitu Cecil Nathanael Busu Polycap, Ethan Madang Peter Law, Mirabel Ting Ern Hui, Dayang Ferazlyn Abang Sahari dan Daphne Chai.
Persatuan Pickleball Miri dan Martin Kueh menerima Anugerah Advokasi Kesihatan & Kesejahteraan.
Pakar kecantikan Josephine Ch’ng dan pendandan rambut Alan Ch’ng pula dianugerahkan dengan Anugerah Keusahawanan & Inovasi.
Usahawan muda Matassan Rohani menerima Anugerah Usahawan Sosial.
Bagi kategori Pembangunan Komuniti, anugerah telah dikurniakan kepada dua pemimpin tempatan, Datuk Alexander Maiyor dan Datuk Usop Sani Wahap.
Penerima lain termasuk Masri Usan (Anugerah Pemeliharaan Budaya), Deckworks Events & Entertainment (Anugerah Penganjur Acara Sukan Cemerlang), Julaihi Mohamad (Anugerah Khidmat Masyarakat Cemerlang), Profesor Dr Been Giridharan (Anugerah Kecemerlangan Pendidikan), Ezra Tekola (Anugerah Kecemerlangan Seni dan Anugerah Persembahan), Caroline Siburat (Anugerah Kecemerlangan Hospitaliti & Pelancongan) dan ‘Taste of Borneo’ Persatuan Cina Sarawak (Anugerah Kecemerlangan Pelancongan).
Turut hadir ialah Timbalan Datuk Bandar Miri Kaunselor Ariffin Mohamad, Pemangku Setiausaha MBM Abdul Rahman Taupek dan pengerusi penganjur Kaunselor Abdullah Jaini.