News

 

Yii: Events like food fairs are organized because there is market power

Posted on 25 Jun 2024
Source of News: Utusan Borneo

The original news is in Malay Laguage from Utusan Borneo newspaper.



MIRI: Penganjuran sesuatu acara termasuk pesta makanan di sini adalah kerana adanya kuasa pasaran dan perolehan keuntungan.

Datuk Bandar Miri Adam Yii memberitahu kebanyakan aktiviti dikendalikan pihak swasta telah mendapat permit dan kebenaran dari Majlis Bandaraya Miri (MBM). 

"Di pihak majlis, kita serahkan kepada pihak swasta untuk menentukan sama ada aktiviti itu sesuai atau boleh dilaksanakan.

"Setelah anda membuat permohonan (menganjur aktiviti), sekiranya tiada isu, kita (MBM) mengeluarkan permit sebagai syarat," jelasnya kepada pemberita ketika ditemui menghadiri acara larian dan berbasikal Karnival Perpaduan Miri sempena Sambutan Minggu Perpaduan (SMP) di Miri Waterfront, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut berkata demikian ketika ditanya mengenai kekerapan penganjuran pesta makanan di sini.

Isu itu turut diperdebatkan pengguna media sosial yang meminta penganjur dan MBM mempelbagaikan aktiviti mereka di sini, melihat kepada status Miri sebagai bandar raya peranginan dan pelancongan. 

Yii berkata, MBM pernah menerima aduan mengatakan Miri terlalu banyak mengadakan pesta makanan dan tidak mendatangkan keuntungan. 

Menurut Yii, kuasa pasaran akan menentukan sama kejayaan aktiviti yang diatur penganjur. 

"Sekiranya ia tidak menguntungkan dan sukar dilaksanakan, saya rasa penganjur tidak akan mengendalikannya.

"Bukan kuasa MBM untuk memberitahu mereka ia sukar dilaksanakan atau tidak," jelasnya. 

Beliau secara peribadi berpendapat akan membiarkan kuasa pasaran menentukan jenis-jenis aktiviti yang dibenarkan diadakan di sini.