News

 

MCC takes serious action against the installation of illegal advertising material

Posted on 28 Aug 2024
Source of News: Utusan Borneo

The original news is in Malay Language from Utusan Borneo newspaper

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) mengambil tindakan serius terhadap pemasangan bahan-bahan iklan secara haram, terutama yang menghalang tingkap bangunan.

Datuk Bandar Miri Adam Yii berkata, sehingga 28 Julai, sebanyak 1,346 unit bahan iklan haram telah diturunkan terutama bahan iklan haram peminjam wang.

“MBM memandang serius perkara itu dan telah menerima banyak aduan terutama tentang bahan iklan pinjaman wang tanpa permit. 

“Perkara ini boleh menjejaskan imej dan pemandangan di bandar raya Miri serta boleh menyebabkan kacau ganggu dan mengancam keselamatan orang awam terutama pengguna jalan raya,” katanya pada mesyuarat penuh ahli-ahli MBM di Dewan Bandaraya Miri di Marina City, hari ini.

Justeru, MBM telah menjalankan operasi sepanjang bulan ini dengan 35 notis amaran di bawah Seksyen 17 Undang-Undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan (Pengiklanan) 2012 dikeluarkan kepada pemilik pusat refleksologi, pusat peminjam wang, kedai perabot dan kedai-kedai lain yang memasang bahan iklan yang menghalang tingkap. 

"Selain itu juga, pihak Majlis juga telah menjalankan tindakan penurunan bahan iklan haram (tamat tempoh, rosak atau tiada permit) di sekitar bandar raya Miri," tambahnya. 

Yii yang juga ADUN Pujut, menyeru agar penduduk Miri dan syarikat pengiklanan khususnya, mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan dalam pemasangan dan mempamerkan bahan iklan termasuk papan tanda perniagaan. 

Orang awam yang hendak memohon atau memasang bahan iklan hendaklah memohon permit terlebih dahulu di Seksyen Penguatkuasaan Majlis Bandaraya Miri, Bangunan UTC Tingkat 2B. 

Beliau memberitahu, tindakan di bawah Seksyen 23 dan Seksyen 28, Undang-Undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan (Pengiklanan) 2012, denda maksimum RM5,000 dan tindakan sitaan akan diambil, sekiranya mempamerkan bahan iklan tanpa permit daripada MBM.