MIRI: Orang ramai yang mengalami kerugian akibat pokok tumbang ketika kenderaan mereka diletakkan di tempat parkir kereta Majlis Bandaraya Miri (MBM), boleh menuntut pampasan daripada pihak majlis.
Datuk Bandar Adam Yii memberitahu demikian ketika ditanya berhubung isu itu berikutan aduan pokok yang ditanam di kawasan parkir kenderaan di bawah bidang kuasa MBM tumbang di atas kenderaan yang diletakkan di situ akibat angin kencang.
“Kami sebenarnya telah mendapatkan khidmat perunding untuk meninjau semua pokok yang telah ditanam oleh MBM bagi memastikan situasi adalah selamat.
"Bagaimanapun, tiada bukti yang nyata dan kemalangan memang berlaku.
"Oleh itu, kita ingin memberitahu orang ramai bahawa MBM memandang serius isu ini dengan berusaha memastikan semua pokok ini selamat dan orang ramai sentiasa dialukan untuk mengadu isu itu dengan majlis," jelasnya.
Jika orang ramai tidak berpuas hati dengan maklum balas atau hasil oleh pihak majlis, Yii berkata mereka boleh mengambil tindakan undang-undang.
"Orang ramai sentiasa boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap majlis, jika mereka berpendapat bahawa itu adalah tanggungjawab majlis," tambahnya.
Isu itu dibangkitkan berikutan hujan berterusan dan angin kencang berlaku di Miri sejak awal tahun ini dan baru-baru ini sebatang pokok tua telah tumbang dan merosakkan kenderaan yang diparkirkan di tempat parkir milik pihak majlis.
Yii juga menjelaskan bahawa pokok yang ditanam di tepi jalan adalah di bawah pengawasan MBM, justeru orang ramai boleh membuat aduan sekiranya mereka mendapati keadaan pokok berkenaan membimbangkan atau tidak selamat.