News

 

Pemilik rumah buat sambungan haram akan dikenakan tindakan

Posted on 14 Apr 2025
Source of News: Utusan Borneo Online



MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) akan mengambil tindakan terhadap pemilik rumah yang mempunyai strutktur bangunan atau bumbung yang menyalahi undang-undang khususnya di kawasan perumahan kos rendah di kawasan Permyjaya.

Sehubungan itu, Datuk Bandar MBM Adam Yii mahu memastikan semua pemilik atau penghuni kediaman terbabit, membuka atau menurunkan sambungan ini bagi memudahkan perkhidmatan pengangkutan awam dan sebelum tindakan diambil.

Menjawab pertanyaan wartawan mengenai keputusan pengendali bas pintar bandar raya Miri untuk menghentikan operasi di kawasan itu, Yii berkata, kira-kira dua tahun lalu pasukan penguat kuasa MBM telah menjalankan operasi serupa untuk menurunkan sambungan bangunan haram tersebut.

"Operasi itu dilakukan disebabkan sambungan secara haram semakin berleluasa di kawasan itu.

"Sekarang pengendali bas telah membangkitkan isu dan cabaran yang mereka hadapi, maka MBM akan mengambil tindakan yang perlu," katanya sambil memberitahu bahawa tindakan pertama akan memberi tumpuan kepada laluan bas.

Bagaimanapun Yii menjelaskan, proses menurunkan sambungan yang lain akan memerlukan sedikit masa di mana penguatkuasaan terlebih dahulu akan menyemak dan mengeluarkan notis amaran meminta penduduk merobohkan struktur tersebut.

"Seluruh proses akan mengambil sedikit masa untuk mereka turunkan atau kami akan mengerahkan penguatkuasaan untuk melakukannya.

"Ia adalah proses yang sangat mengecewakan (untuk dilakukan)," katanya lagi.

Beliau seterusnya mengingatkan bahawa penduduk perlu mempunyai kesedaran bahawa mereka adalah golongan yang paling memerlukan perkhidmatan bas.

Justeru tegasnya, kerjasama mereka akan memastikan bas pintar itu terus menyediakan pengangkutan awam percuma.

Terdahulu Yii berkata, MBM telah menjalankan operasi penguatkuasaan untuk merobohkan struktur tidak dibenarkan yang tidak mematuhi peraturan bangunan MBM.

“Tindakan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan MBM untuk menegakkan keselamatan awam, memastikan pembangunan teratur, dan menguatkuasakan peruntukan yang digariskan di bawah Ordinan Bangunan 1994.

"Sehingga Mac 2025, tiga pemilik hartanah telah dikenakan tindakan perobohan kerana membina atau mengubah suai struktur tanpa mendapat kelulusan yang diperlukan daripada pihak berkuasa yang berkaitan.

“Langkah ini penting untuk mengurangkan risiko keselamatan, mengekalkan keharmonian bandar dan memastikan pematuhan peraturan tempatan," tambahnya.