News

 

Extremely slippery, tiles at Miri Fish Market should be replaced immediately

Posted on 11 Jun 2025
Source of News: Utusan Borneo


Original News In Bahasa Malaysia

MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) sedang mempertimbangkan cadangan untuk menggantikan jubin di Pasar Ikan Miri ketika ini yang amat licin dengan jubin antigelincir. 

Ahli Majlis Bandaraya Miri (MBM) yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pasar, Peniaga dan Penjaja Kaunselor Dr Vincent Huang memberitahu, cadangan itu sedang dipertimbangkan dan pihak Majlis juga sedang meneliti alternatif yang lebih menjimatkan kos namun masih memenuhi keperluan keselamatan.

Beliau memberitahu perkara itu dalam satu kenyataan di sini, berikutan aduan orang awam berhubung isu lantai di premis itu yang sangat licin dan menggesa pihak MBM mengambil tindakan proaktif bagi menangani isu keselamatan di pasar itu. 

Seorang warga prihatin dan pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai C.P Lai, membuat aduan kepada pihak media hari ini selepas menyaksikan seorang wanita terjatuh akibat lantai yang licin semasa berada di pasar itu beberapa hari lalu.

“Kawasan berhampiran gerai sangat basah dan licin.

"Saya sendiri hampir tergelincir.

"Sebelum sempat saya bertindak, saya nampak seorang wanita di sebelah saya jatuh terhempas ke lantai dan situasi ini sangat berbahaya,” katanya.

Lelaki berusia 80 tahun itu menetap di luar Miri dan hanya sesekali datang ke Miri untuk membeli makanan laut. 

Beliau mendakwa pernah membaca laporan berhubung aduan orang awam mengenai isu yang sama minggu lalu dan berharap dapat mengetengahkan isu itu sekali lagi.

Berita itu pertama kali disiarkan pada 6 Jun oleh sebuah akhbar harian berbahasa Cina.

Susulan itu, pada 8 Jun lalu Dr Huang mengeluarkan kenyataan memaklumkan bahawa pihaknya telah meletakkan tanda amaran sementara di sekitar premis bagi memberi amaran kepada pengunjung.

Selain meletakkan tanda amaran keselamatan untuk mengingatkan pengunjung pasar berhubung masalah itu, Dr Huang dalam kenyataan tersebut turut menasihati semua penjual ikan, penjaja dan pengusaha gerai agar memakai kasut atau but antigelincir semasa bekerja di pasar serta mengingatkan pelanggan supaya berjalan dengan berhati-hati dan mematuhi tanda amaran keselamatan.

Tinjauan Utusan Borneo ke Pasar Ikan Miri yang terletak di tebing kuala Sungai Miri, berdekatan dengan Miri Waterfront di sini, semalam mendapati, keadaan lantai pasar ikan tersebut memang agak licin hingga menyebabkan pengunjung perlu berjalan dengan lebih berhati-hati. 

“Kontraktor yang bertanggungjawab membersihkan lantai telah menjalankan tugas mereka mengikut jadual tetapi ini adalah tempat menjual ikan dan makanan laut dan ia tidak dapat lari dari keadaaan basah dan air ada di merata tempat,” kata seorang peniaga di pasar itu yang enggan namanya didedahkan. 

“Kawasan yang sentiasa basah akan menjadi licin disebabkan kelembapan, apa lagi daripada aktiviti mencuci atau membersihkan ikan.

"Kami pernah melihat pengunjung hampir tergelincir dan kami perlu sentiasa mengingatkan mereka supaya berhati-hati,” tambahnya.  

Walaupun tanda amaran dilihat telah diletakkan di sekitar premis, pengusaha itu berkata, sukar bagi pengunjung untuk mengawal pergerakan mereka sepenuhnya ketika sibuk menumpukan perhatian ketika membeli-belah di pasar itu. 

“Bagi kami yang bekerja di sini, kami telah melengkapkan diri dengan pakaian dan kasut yang sesuai, tetapi tidak bagi pengunjung. 

“Justeru kami berharap pihak majlis bandaraya (MBM) dapat mengambil tindakan segera demi keselamatan para pengunjung,” tambahnya.